Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang hari ini mengarahkan peguamnya mengemukakan saman terhadap laporan akhbar Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan "Umno Kafir" dalam satu ceramah di dalam kempen pilihan raya kecil di sebuah ceramah di Sungai Terah, Gua Musang, semalam.
Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .
"Saya didakwa mengatakan Umno kafir dalam satu ceramah di Galas bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini merupakan fitnah dan pembohongan oleh kerana saya tidak bercakap seperti yang didakwa oleh beliau.
"Saya juga tidak pernah menghadiri ceramah di tanah rancangan Kesedar seperti yang didakwa dan ini merupakan perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menyebarkan kebencian kaum dan agama," kata Lim pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Berita Harian dalam laporannya semalam membidas Lim dan DAP yang didakwa semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang Umno kafir.
Akhbar itu memetik Ali Rustam sebagai berkata tindakan DAP mengkafirkan Umno itu adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.
“Yang kita sedihnya apabila Lim menuduh orang Melayu parti UMNO kafir disambut dengan laungan takbir ‘Allahuakhbar’ oleh pemimpin PAS bersama penyokongnya yang dianggap menjual agama Islam kepada kaum lain.”
“Inikah parti yang melaungkan perjuangan Islam yang patut kita sokong dan sudah jauh terpesong akidah sebenarnya,” Ali Rustam dipetik oleh Berita Harian .
Malah lebih mendukacitakan kata Lim, Pemuda Putrajaya Umno membuat laporan polis ke atasnya berhubung laporan palsu itu.
Sehubungan itu, Lim berkata satu laporan polis juga akan dibuat oleh DAP Gua Musang terhadap kedua-dua pihak, hari ini.
Ketika ditanya mengenai saman yang akan dikemukakan itu, Lim berkata saman itu bagi menuntut pihak terbabit menarik balik dakwaan serta meminta maaf di atas kenyataan disifatkan sebagai pembohongan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga hadir pada sidang media ini menuntut Berita Harian menarik balik artikel berkenaan dan memohon maaf.
“Tiada pemimpin DAP yang kata Umno kafir. Kita bukan Islam macam mana nak tuduh orang lain kafir?” soalnya.
Ditanya sama ada parti itu akan menuntut bayaran ganti rugi atau pampasan daripada akhbar berkenaan, Guan Eng berkata perkara itu membabitkan maruah dan bukannya kerana wang.