Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melaka Maju: Ali Rustam didakwa tipu rakyat?
Diterbitkan:  Nov 2, 2010 12:54 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam diminta membuat penjelasan tentang kenyataan Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang menafikan badan tersebut mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju.

ali rustam and melaka Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka mendakwa OECD sebagai badan bebas telah  memberikan pengiktirafan bahawa Melaka telah mencapai status negeri maju pada 20 Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS negeri, Yusof Wahab berkata perkara itu adalah serius kerana membabitkan imej kerajaan negeri dan maruah rakyat negeri Melaka.

"Mana mungkin kerajaan negeri mengisytiharkan Melaka negeri maju tanpa black and white dari badan bebas itu, ini dah kira masuk bakul angkat sendiri,” katanya.

Menurut beliau, rakyat negeri Melaka berasa tertipu dengan penafian OECD itu dan kerajaan negeri mesti membuat penjelasan mengenainya.

“Malah pengisytiharannya pula dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, apakah kerajaan negeri ingin permainkan dan perbodohkan Perdana Menteri," kata Yusof semasa ditemui di Pusat Aduan Rakyat DUN Bukit Baru, di Melaka pagi ini.

Yusof juga mencadangkan isu ini dibawa di dalam sidang DUN yang sedang berlangsung sekarang.

"Saya cadangkan satu usul tergempar di bawa ke sidang DUN untuk dibincangkan di kalangan ahli dewan dan satu ketetapan mesti diambil oleh DUN untuk mengembalikan maruah dan integriti kerajaan negeri serta rakyat negeri ini.

"Ini bukan isu kecil dan main-main, ia melibatkan maruah dan imej kerajaan serta rakyat," katanya.

OECD hari ini mengesahkan bahawa badan tersebut tidak mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju kerana ia tidak mempunyai kuasa atau tidak berautoriti untuk membuat pengisytiharan seumpama itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS