Perlawanan bola sepak Piala Malaysia dikenalpasti sebagai penyebab utama peratusan keluar mengundi yang rendah dalam pemilihan pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di 68 cabang sebelum ini.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengakui perlawanan akhir antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada Sabtu yang bertindih dengan pemilihan parti menjejaskan peratusan keluar mengundi.
Selain itu, anggota parti itu terlibat membantu dalam kempen pilihan raya kecil Galas, kata Saifuddin.
Sebab-sebab lain, menurut Saifudin, apabila akhbar parti Suara Keadilan digantung - yang mana edarannya didakwa 150,000 - tidak dapat mewarwarkan pemilihan parti itu kepada anggotanya di seluruh negara.
"Jika kita lihat pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka akan mengiklankan di radio dan televisyen supaya orang datang mengundi, tetapi parti tiada dana untuk tujuan itu," katanya.
Sambil berharap perkara ini tidak berulang, beliau menjelaskan peratusan keluar mengundi pada tiga hari pertama - Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu - hanya sekitar sembilan peratus.