DAP hari ini mencabar akhbar Utusan Malaysia supaya bersifat bertanggungjawab dan menyahut tawaran debat berhubung dakwaan parti pembangkang itu sebuah pertubuhan yang rasis.
Cabaran itu dibuat oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara , Tony Pua berikutan kolumn yang disiarkan pada Ahad lalu di Mingguan Malaysia yang melabelkan DAP sebagai parti paling rasis di dunia.
'Awang Selamat dalam pojoknya menulis: “Ancaman DAP adalah jauh lebih berbahaya daripada apa-apa ancaman sekalipun yang pernah dihadapi dalam sejarah tanah air. Cuma bentuk penjajahan mereka lebih halus, berselindung atas slogan demokrasi dan tanpa menggunakan senjata. Tetapi implikasinya amat besar.
“Perlembagaan termasuk kedudukan Islam dan institusi beraja menjadi taruhan, yang akhirnya membawa Malaysia menuju negara republik. Apakah itu yang kita mahu?”
Pua membalas dan menganggap serangan itu sebagai “melampau’ dan “keterlaluan”.
Demi ‘kebenaran dan keadilan, Pua yang juga setiausaha publisiti DAP, mencabar Awang Selamat atau mana-mana wakil pengarang Utusan supaya berdebat.
“Editor dan pemiliknya tidak harus bersembunyi di belakang nama pena dan melemparkan tuduhan tanpa asas, (bertindak) sebagai penembak curi,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Sambil menyifatkan akhbar itu sebagai “pengecut”, Pua mencabar mereka menyahut cabarannya “jika mereka sebenarnya mempertahankan bangsa Melayu”.
Katanya, DAP akan membuktikan parti itu bukan rasis dan sedang bekerja dalam rangka Pakatan Rakyat bagi menjamin hak Melayu terus terpelihara.
“Kami akan buktikan Utusan adalah ... rasis ... dan mereka adalah ancaman kepada negara,” kata Pua.
“Menolak cabaran ini hanya mencerminkan ketiadaan integriti di pihak Utusan,” katanya lagi.
Beliau memberikan akhbar itu tujuh hari untuk menyahut cabaran berkenaan dan berkata perdebatan boleh dianjurkan oleh mana-mana pihak yang berkecuali.
“Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) atau TV3 (boleh menganjurkannya) dan format boleh dirundingkan,” katanya.
[Baca berita penuh]