Setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin mendakwa wujud keraguan yang melampau dan percanggahan niat dalam program Tabung Budi yang dilancarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) baru-baru ini,
"Tabung Budi melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor dan diserahkan pula kepada SYABAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengurus besar bahagian komunikasi korporat dan hal ehwal awam SYABAS, Abdul Halim Mat Som dilaporkan berkata wang kutipan tabung itu akan disalurkan kepada keluarga yang langsung tidak menerima 20 meter padu air percuma.
"Modus operandinya tidak masuk akal kerana kerajaan negeri membayar SYABAS dengan harga penuh, iaitu RM11 juta sebulan," kata Faekah lagi.
Menurutnya lagi, SYABAS tidak layak untuk mengutip subsidi 20 meter padu tersebut dari mana-mana individu.
"Jika ia dilakukan, Syabas akan dibayar dua kali untuk 20 meter padu air yang sama," tegasnya.
Hairannya, kata beliau, mengapa SYABAS tidak pula secara terus memberikan air percuma kepada rakyat tanpa menuntut bayaran penuh dari kerajaan negeri.
"Lebih memeranjatkan lagi, sebahagian dari kutipan dana yang kononnya untuk membantu rakyat miskin turut datang dari potongan gaji pekerja Syabas sebanyak RM 11.40 sebulan," tambahnya.
Faekah menyifatkan program tersebut sebagai satu gimik dan sekadar latihan perhubungan awam demi memulihkan imej SYABAS.
Lebih menghairankan, tambahnya, SYABAS langsung tidak meminta pandangan kerajaan negeri, mahupun berbincang mengenainya.
"Apa yang lebih penting, Syabas tidak ada hak dan tidak layak untuk mengutip derma dari mana-mana individu pengguna air yang telah mendapat subsidi dari kerajaan negeri.
"Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan tersebut mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada SYABAS.
"Kami menggesa SYABAS berhenti menggunakan skim tersebut sebagai topeng menutup segala kepincangan urustadbir.
"Sekiranya SYABAS benar-benar ingin menolong rakyat, kembalikan hak air kepada rakyat Selangor," katanya.