Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasca Piala Malaysia: Lebih 'kad kuning' di Galas?

Kempen di Galas yang masuk hari keenam hari ini dijangka mula bertambah rancak selepas tertangguh dengan perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam tadi.

Sejak awal lagi, mood kempen kali ini sememangnya telah banyak dipengaruhi elemen bola sepak dengan istilah-istilah seperti "perlawanan persahabatan" yang disebut oleh pengarah pilihan raya BN Tengku Razaleigh Hamzah.

azlan Di pihak lawannya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula menyebut mengenai amaran "kad kuning" yang akan diberikan kepada para penceramah di pentas Pakatan Rakyat.

Amaran tersebut akan diberikan sekiranya mereka menyerang atau mengecam pemimpin BN – khususnya Tengku Razaleigh memandangkan PAS telah berjanji untuk tidak mengambil pendekatan seperti itu.

"Insya-Allah, kita pegang kepada janji," katanya dalam satu sidang media pada pagi semalam.

Katanya, beliau telah memberikan taklimat kepada pemimpin Pakatan termasuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya tidak menyerang peribadi Tengku Razaleigh.

Royalti: Sentuh Pusat, bukan Ku Li

"Jangan sentuh, jangan kecam Ku Li. Bukan saya di sini (kepada) seluruh pimpinan kita bagi (ketetapan).

"Kalau sekali tergelincir, kita bagi kad kuning. Kalau dia buat juga, kita akan beri kad merah, tak boleh lagi datang ke sini (ceramah)," kata Abdul Halim.

azlan Katanya, masih banyak lagi isu yang boleh disentuh termasuk isu tuntutan royalti minyak oleh negeri Kelantan.

"Mungkin bangkitkan isu kezaliman kerajaan pusat tak bagi royalti minyak, bukan Tengku Razaleigh.

Ceramah di pentas Pakatan bagaimanapun telahpun mula dipertikaikan di kem BN dengan dakwaan berlakunya serangan ke atas Tengku Razaleigh.

Mengulas perkembangan itu, ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, janji untuk tidak menyerang peribadi lawan tidak dibuat oleh BN tetapi oleh PAS.

Galas tanpa isu peribadi

Namun, PAS sendiri yang mengingkari janji mereka untuk tidak melakukan perkara berkenaan dalam kempen kali ini, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas antara lainnya kandungan salah satu ceramah oleh setiausaha PAS Kelantan Zaki Ibrahim.

NONE Zaki didakwa telah mempertikaikan sumbangan yang diberikan Tengku Razaleigh dalam membangunkan Gua Musang, seperti dikutip Utusan Malaysia.

"Mereka yang mengumumkan tentang perkara itu. Datuk Halim saya baca dalam akhbar kata tidak akan menyerang peribadi Tengku Razaleigh jadi mereka yang menyebut perkara itu.

"Saya sendiri tidak menyerang peribadi tuan guru (Datuk Nik Abdul Aziz). Saya pun dah beritahu kawan-kawan lain dengan serangan-serangan yang berunsur fitnah ini.

"Jadi nampaknya merekalah yang memulakan perkara begitu. Tak eloklah sebab mereka yang berjanji. Kalau mereka sendiri yang mengingkari janji itu, merekalah yang salah," katanya.

Persoalan yang timbul kini, adakah PAS akan lebih berupaya untuk mengetengahkan isu-isu yang akan lebih menambat hati pengundi di Galas tanpa menjalankan serangan peribadi?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS