Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon hari ini melawat bekas ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu yang kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang di Georgetown.
Dr Lim dimasukkan ke hospital itu sejak dua hari lepas dipercayai akibat serangan angin ahmar.
Koh yang juga Presiden Gerakan tiba bersama beberapa pemimpin parti Gerakan dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di wad berkenaan.
"Saya meminta semua rakyat Pulau Pinang dan ahli parti Gerakan supaya berdoa untuk kesihatan Tun Dr Lim," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Dr Lim berkata, pada Ogos lalu, beliau telah mengunjungi Dr Lim di rumahnya serta berbual seperti biasa.
Dr Lim, 91, menjadi ketua menteri kedua Pulau Pinang dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari Mei 1969 hingga Oktober 1990.
Beliau pernah menjadi presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu dan menjadi presiden parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971.
Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1972.
Pada zaman pentadbirannya, Dr Lim telah membangunkan kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) yang kini dikenali sebagai Zon Perindustrian Bebas (FIZ).
Mercu tanda Pulau Pinang, Komtar yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri dan Jambatan Pulau Pinang adalah hasil perancangan beliau.
- Bernama