Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Drama di Batu Sapi: Ansari terhumban ke laut
Diterbitkan:  Oct 27, 2010 2:40 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Kempen lesu pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi pagi ini dirancakkan dengan ‘drama kecil’ apabila calon PKR, Ansari Abdullah terjatuh ke laut apabila jeti kayu yang dipijaknya tiba-tiba runtuh.

NONE Ansari ( tengah ) berjaya menyelamatkan dirinya tanpa sebarang kecederaan meskipun pakaiannya basah kuyup dan beliau kehilangan dua telefon bimbitnya.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, Ansari bersama krew berita sebuah stesen televisyen swasta serta beberapa pekerja parti tiba di Pulau Api-Api dari pulau berhampiran.

"Yang mula-mula naik ke jeti (pelantar) selepas bot rapat di pelantar itu ialah krew NTV7. Selepas itu saya. Apabila saya melihat jeti (pelantar) itu agak goyah, saya tidak bagi sesiapa lagi naik.

"Malangnya, disebabkan bot itu (yang mereka naiki) bergoyang, pengarah pilihan raya PKR turut naik ke atas jeti menyebabkan ketiga-tiga kami jatuh ke dalam laut, habis basah," katanya.

Beliau berkata mujurlah semua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun basah kuyup dan petugas stesen televisyen itu sempat menyelamatkan kameranya daripada basah.

Menurut penyelaras kempen PKR, Sim Tze Tsin - Ansari masih bersemangat untuk berjuang selepas kejadian itu.

NONE "Ansari berkeras mahu melawat antara kawasan paling miskin di Sandakan bagi merayu undi. Semangatnya masih tinggi di sebalik kejadian itu.

"Kita tidak lihat ini sebagai petanda buruk, tetapi kejadian ini menunjukkan dengan jelas, BN telah gagal menjaga kawasannya, apa lagi membawa kemajuan. Jeti kayu pun mereka tidak boleh selenggara,” bidas Sim.

Menurut Sim, Pulau Timbang di perairan Sandakan yang mempunyai 227 pengundi Melayu-Bajau dan tinggal di rumah yang daif.

"Kejadian hari ini menunjukkan kerajaan tidak prihatin. Orang ramai bergantung bergantung kepada jeti ini setiap hari, malah kanak-kanak sekolah menggunakannya ke sekolah,” katanya.

Ansari berkata beliau juga bersyukur kerana hanya pelantar jeti yang roboh dan bukannya keseluruhan jeti itu memandangkan terdapat wanita mengandung dan ibu yang membawa kanak-kanak kecil sedang menunggu di atas jeti ketika kejadian itu.

NONE Sehubungan itu, Ansari meminta ADUN Sekong Datuk Samsudin Yahya supaya mengarahkan agensi berkaitan untuk segera membaiki jeti berkenaan.

Ansari, ketua cawangan PKR, Tuaran ditentang oleh presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon BN Linda Tsen dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi parlimen Batu Sapi.

Pengundian adalah pada 4 November ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS