Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini menyerahkan memorandum aduan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung Festival Fesyen Islam (IFF) yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu kerana dikatakan satu penghinaan kepada Islam.

NONE Festival busana tersebut dinaungi oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Rombongan enam pemimpin Pemuda PAS Wilayah diketuai oleh pemangku ketua Herman Samsudeen memasuki Jakim pada jam 11.15 pagi.

Memorandum tersebut, diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Jakim Asiah Al-Kharib Shah di pejabatnya pagi ini.

"Penganjuran Festival Fesyen Islam, walaupun namanya Islam, tetapi ia jelas menghina Islam apabila menampilkan model yang berpakaian menjolok mata. Lebih menyedihkan apabila model terbabit memakai baju yang tertulis 'Muhammad' dalam bahasa Arab dalam keadaan terbalik.

NONE "Soalnya, apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penganjur dalam festival ini melainkan berniat mahu menghina Islam? Lebih dari itu, mengapakah Datin Seri Rosmah Mansor terlibat secara langusng merasmikan dan menaungi festival ini.

"Ia pasti akan memburukkan imej Malaysia di mata dunia Islam yang lain memandangkan ia melibatkan nama perdana menteri Malaysia sendiri," kata Herman dalam memorandum tersebut.

Dalam memorandum itu juga, Herman juga turut menyenaraikan aduan mereka mengenai konsert penyanyi 'gay' Adam Lambert yang didakwa "tidak wajar diadakan".

'Beri Jakim kuasa penguatkuasaan'

NONE Sehubungan itu, Herman meminta agar Jakim mengambil peranan bersungguh-sungguh serta melibatkan diri secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan dalam negara serta melibatkan pemimpin negara.

"Justeru itu, di atas dua perkara ini DPPWP memohon agar Jakim memainkan peranan lebih aktif sebagai penasihat kepada kerajaan dan pemimpin negara agar tidak menganjurkan program maksiat atau terlibat dengan mana-mana program mungkar," kata Herman.

Sementara itu, dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Herman berkata Jakim perlu mengambil inisiatif untuk mengawal program yang tidak menepati syariat Islam.

"Kita minta Jakim memainkan peranan lebih besar memberi teguran kepada kerajaan," katanya.

NONE Herman juga bersetuju dengan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin berhubung cadangan menubuhkan panel syariah sebelum pertunjukkan fesyen diadakan.

"Kita menyokong satu panel khusus (ahlinya) daripada wakil Jakim atau majlis fatwa kebangsaan.

"Kita tak halang festival fesyen. Buatlah, tapi mesti betul ikut cara Islam," katanya sambil menambah festival fesyen Islam dijangka sekali lagi akan diadakan di Kuala Lumpur pada 5 November depan.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan agar Jakim dinaik taraf sebagai satu kementerian supaya ia mempunyai bidang kuasa yang luas, antaranya melibatkan penguatkuasaan.

ADS