Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wartawan antara 15 korban Gunung Merapi
Diterbitkan:  Oct 27, 2010 12:31 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Seorang wartawan portal berita vivanews.com adalah antara 15 yang ditemui mati di dalam dan sekitar halaman rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan di kaki gunung itu yang meletus petang semalam.

    

Mayat wartawan itu ditemui dalam rumah Mbah Maridjan bersama tiga yang lain manakala mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu di daerah Sleman apabila pasukan penyelamat sampai ke situ pukul 10 malam tadi.

    

eruption of mount merapi Semua mereka ditemui dalam keadaan sukar dikenali kerana melecur seluruh tubuh akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu apabila gunung berapi teraktif di dunia itu meletus semalam.

    

Sebagai jurukunci gunung itu, Mbah Maridjan, ialah seorang warga emas yang kontroversial kerana enggan meninggalkan rumahnya, yang merupakan rumah terakhir sebelum ke puncak gunung berapi itu semasa letusan Merapi pada 2006 tetapi terselamat dalam bencana itu.

    

Bagaimanapun, nasib Mbah Maridjan belum diketahui, sama ada terselamat atau terkorban dalam insiden berkenaan.

    

Semalam seorang bayi turut mati akibat letusan gunung berapi itu kerana kesan lecur.

    

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren (institusi agama) di Magelang, 15 km dari gunung berapi itu beserta 10 yang lain telah dipindahkan oleh para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ke Solo tengah malam tadi.

    

Kesemua mereka dibawa dengan dua buah bas dan sebuah kenderaan APV termasuklah dua warganegara Singapura, 3 wanita isteri kepada pelajar dan

dua bayi perempuan.

Misi pemindahan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dengan dibantu pegawai-pegawai kedutaan serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia.

    

Sementara itu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah membuka Bilik Operasi 24 jam mulai malam tadi bagi menyalurkan maklumat terkini dan melayan pertanyaan rakyat Malaysia di Malaysia mengenai letusan Gunung Merapi.

    

Ketua Canseri Raja Reza Raja Zaib Shah berkata bilik gerakan itu memantau perkembangan terkini kejadian bencana itu.

    

Talian Bilik Operasi itu adalah seperti berikut:

    No. Telefon : 62-21-5224947 (talian am)

    No. Telefon : 62-21-5224971 (talian terus)

    No. Faks :62-21-5224974


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS