Dakwaan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) bahawa beliau 'takut' dengan ucapan penggulungan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu, menghangatkan sesi perbahasan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.
Dalam ucapan itu, Najib menyeru anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bersungguh-sungguh mempertahankan Putrajaya.
Membaca petikan kata-kata Najib yang disiarkan akhbar berbahasa Malaysia, Fong ( kiri ) menuntut Najib yang juga perdana menteri memberi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkannya dengan kenyataan itu.
"Saya mahu perdana menteri hadir dalam dewan untuk beri penjelasan terutama mengenai: berkecai tulang dan badan, walau bercerai jasad dan nyawa. Saudara dan saudari, walau apapun terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan ," kata Fong ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) semalam.
Fong bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang menyebabkan beliau berasa 'takut' dengan ucapan Najib itu.
Tindakan Fong itu menyebabkan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) bangun beberapa kali untuk mencelah dengan alasan ingin memberi penjelasan kepada Fong berkenaan ucapan presiden Umno itu, namun tidak diendahkan ahli parlimen Batu Gajah itu.
Bagaimanapun, Mohamad tetap berkeras dan terus bercakap ketika Fong sedang berbahas: "Saya nak buat sikit pembetulan supaya jangan ragu, bimbang, jangan takut. Itu peribahasa Melayu bagaimana pemimpin nak naikkan semangat. Bukan nak gaduh. (Awak) Tak faham peribahasa Melayu.
"Tak perlu (PM) buat penjelasan dan saya tidak fikir beliau mahu menimbulkan ketakutan dan kebimbangan kepada rakyat. Saya amat tersinggung dengan ucapan (ahli parlimen) Batu Gajah," katanya menyebabkan Speaker dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan Mohamad supaya hanya mencelah apabila diberi laluan.
Mohamad menjelaskan bahawa ucapan Najib itu hanya bertujuan menaikkan semangat juang anggota Umno.
"Ini bukan soal nak bertumpah darah dan bergaduh sesama kita. Tiada niat langsung. Jadi Batu Gajah jangan sangka buruk. Perdana menteri kita seorang yang penuh tanggung jawab," katanya.
- Bernama