Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia ambil langkah kesan bakteria 'superbug'
Diterbitkan:  Oct 26, 2010 12:28 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan kes jangkitan yang melibatkan bakteria 'superbug', kata menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Berikutan itu, katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah diarah menjalankan ujian bagi mengenal pasti serta pengesahan kehadiran bakteria yang membawa gen NDM-1 di Malaysia.

"Sejak kejadian jangkitan bakteria 'superbug' mula dikesan pada tahun 2008, lebih banyak kes melibatkan 'superbug' mula direkodkan di seluruh dunia atau secara lebih spesifik di India, Pakistan dan United Kingdom," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, langkah pengawasan telah dimulakan di mana semua hospital di seluruh negara diarah menghantar sampel bakteria yang menunjukkan corak kerintangan tinggi terhadap kebanyakan antibiotik yang diuji, kepada kepada IMR, untuk ujian lanjut.

"Sehingga ini, tidak ada pesakit yang dijangkiti oleh 'superbug' tersebut yang dirawat di negara ini.

"Pihak IMR telah menyaring 18 isolat bakteria yang menunjukkan corak kerintangan yang tinggi dan hanya satu isolat yang positif terhadap gen NDM-1 yang dikesan di Malaysia.

"Isolat yang positif tersebut hanyalah merupakan 'colonizer' iaitu ia tidak menyebabkan penyakit dalam seseorang pengidap penyakit barah tetapi hanyalah pembawa.

"Ujian susulan terhadap sampel dari pengidap barah tersebut adalah negatif," tambahnya.

Liow berkata, kementerian kesihatan akan terus menjalankan pemantauan bagi mengesan awal dan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan kejadian kes jangkitan bakteria ini, tidak merebak di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS