Penulis blog Malaysian Chronicle , Wong Choon Mei hari ini diarahkan oleh Suruhajaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk memberi keterangan berhubung sebuah artikel berkaitan ucapan perasmian Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.
Dalam ucapannya itu, Najib mengajak ahli Umno mempertahankan Putrajaya - ia dilaporkan dalam bahasa Inggeris oleh blog berkenaan pada Khamis - hari yang sama ucapan itu disampaikan.
Peguamnya, Latheefa Koya berkata, Wong disoal siasat di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pada jam 11 pagi tadi, mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.
Latheefa yang juga ketua penerangan PKR berkata pada mulanya, beliau menemani Wong sewaktu mereka bersama-sama memasuki pejabat SKMM pada jam 11 pagi.
Bagaimanapun, kata Latheefa, kira-kira lima minit selepas berada di pejabat tersebut, dua pegawai atasan SKMM menemui beliau dan menjelaskan sekiranya beliau ingin duduk bersama Wong, SKMM akan mengambil keterangannya pula sebagai saksi.
Katanya, selepas perbicangan bahawa Wong perlu ditemani peguam dan pegawai tersebut "masih bertegas" untuk menyoal penulis itu, maka Wong memberi keterangan tanpa peguam.
"Beliau cuba menjawab soalan yang beliau selesa untuk menjawab. Beliau tidak menjawab soalan yang (beliau rasa perlu) mendapat nasihat yang sewajarnya daripada peguam," katanya.
Menurut Latheefa, SKMM mengambil keterangan Wong selama kira-kira dua jam setengah dan berakhir kira-kira jam 1.30 petang.
Jumaat lalu, SKMM juga menjalankan siasatan terhadap portal berita bebas, Malaysiakini berhubung dua laporan mengenai mengenai ucapan Najib yang bertajuk - We must defend Putrajaya at all costs: Najib dan PM moves to snuff out racial debates.
Portal berita bebas itu juga disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua pengarang kumpulan, Malaysiakini , Steven Gan menyifatkan siasatan SKMM itu sebagai "membuang masa" dan adalah keterlaluan bagi SKMM menyiasat dua laporan tersebut yang pada umumnya adalah daripada ucapan Najib.
"Kami tidak memutarbelitkan apa yang beliau kata. Semua yang dilaporkan oleh Malaysiakini diambil dari ucapannya," kata Gan.