Perubahan dalam Umno telah pun bermula, malah ditiru oleh parti lawan PAS, kata wakil pergerakan puteri yang menyokong usul agama dan pendidikan di perhimpunan agung Umno hari ini.
Idamoerni Zakaria berkata langkah itu dilihat apabila PAS sudah pun mula memperjuangkan Islam secara wasatiah (sederhana) seperti Umno.
Katanya, PAS sebelum ini sanggup "mengkafirkan" Umno kerana berkerjasama dengan parti MCA dan MIC, tetapi parti Islam itu bekerjasama dengan DAP.
"PAS mula tiru Umno lebih bersederhana dalam memperjuangkan Islam dan lebih terbuka dalam memperjuangkan kaum lain," kata Idamoerni.
Tambahnya, tidak ada pemimpin pembangkang yang berdiri di pentas antarabangsa untuk mempertahankan Islam selain pemimpin Umno.
Tidak ada pemimpin pembangkang yang berdiri di pentas antarabangsa untuk mempertahankan Islam selain pemimpin Umno, katanya lagi.
Tambahnya, perkara itu boleh dilihat apabila Datuk Seri Najib Razak menyarankan masyarakat dunia supaya memilih kesederhanaan dan menolak ekstremisme di sidang Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hujung bulan lalu.
Lombok: Di mana Raja Petra, Anwar?
"Ada anasir global mahu tengok Islam hilang. Islam dizahirkan dari persepsi negatif oleh mereka yang benci Islam," katanya mengulas ucapan Najib itu.
Tambahnya, PAS adalah dalang sebenar yang memburukkan wajah Islam di negara ini.
"Menghina Islam dan menjauhi Islam, ia bukan dilakukan anasir luar tapi saudara sesama Islam. Inilah kerja PAS," katanya.
Katanya lagi, Umno telah berusaha menjaga martabat Islam melalui beberapa isu yang diperjuangkan, termasuk ketika Islam dipersendakan melalui satu karikatur Nabi Muhammad yang menimbulkan kontroversi pada akhir 2006.
"Saat Islam dipersenda dengan karikatur, pemimpin Umno yang perjuangkan isu tersebut," katanya.
Idamoerni berkata, usaha Umno seperti itu juga dapat dilihat melalui usaha Pemuda Umno menyelamatkan wanita Malaysia yang dibawa ke Lombok, Indonesia dan juga ketika menghadapi mententeramkan isu pertubuhan BENDERA dari negara itu.
"Di mana Raja Petra (Kamarudin), Anwar Ibrahim dalam isu ni. Adakah mereka hanya tunggu masa untuk buruk-burukkan kita dalam Harakah , Malaysiakini dan sebagainya?" soalnya.