Seruan untuk mengamalkan model politik baru yang dinyatakan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak nampaknya belum menampakkan kesan sekiranya perbahasan daripada para perwakilannya menjadi ukuran.
Najib semalam dilihat cuba mententeramkan anggotanya supaya lebih banyak bersabar dan jangan takut dengan sebarang usaha untuk mengikis hak dan keistimewaan Melayu.
Namun, seruan tersebut seolah-olah disanggah oleh para perwakilan, seperti yang disuarakan wakil Negeri Sembilan Datuk Jalaludin Alias.
Berucap ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden itu, Jalaludin mempersoalkan - takkanlah isu seperti itu tidak dapat dibincangkan di rumah Umno sendiri?
Bagaimanapun, pertentangan paling jelas ke atas seruan Najib itu dilihat daripada wakil Melaka Datuk Hasnoor Sidang Husin.
Beliau menyalahkan warga bukan Melayu kerana tidak berminat untuk memastikan golongan Bumiputera mencapai sasaran ekuiti 30 peratus bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Hasnoor yang 'mencabar' Najib supaya melaksanakan DEB "tanpa kompromi" juga berkata, warga bukan Melayu bukan saja tidak membantu malah mempertikaikan dasar tersebut.
Najib dalam ucapan dasarnya telah menggariskan bahawa hak untuk Bumiputera telah dilindungi perlembagaan negara manakala Raja-raja Melayu tidak akan mudah memberi perkenan untuk meminda peruntukan berkenaan.
"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung," katanya.
Begitu juga usaha yang dilakukan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-duanya dilihat cuba memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini melalui perubahan di dalam Umno.
Berucap ketika merasmikan perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, Muhyiddin menyampaikan mesej yang jelas -- retorik kaum dan laungan yang biasa bergema di PWTC itu perlu dihentikan kali ini.
Perubahan dalam Umno ini sangat penting kerana, menurut seorang pengamal media, liputan ke atas perjalan perhimpunan agung ini lebih penting daripada membuat liputan kabinet.
Sebagai parti yang mewakili keanggotaan kelompok masyarakat paling besar di negara ini, apa saja yang perubahan yang berlaku dalam parti itu pasti akan mengubah lanskap politik negara.