Wakil Kelab Umno Luar Negara hari ini mendedahkan kegiatan pihak pembangkang yang sering berkunjung ke luar negara untuk bertemu para penuntut bagi mempengaruhi minda mereka supaya membenci kerajaan.
Perwakilan Kelab Umno Indonesia Mohd Rizal Abdul Rahman, yang mendedahkan perkara itu kepada para perwakilan Perhimpunan Agung ke-61, berkata sejak 10 bulan lepas, pembangkang didapati aktif menjalankan kegiatan menyogok penuntut Malaysia di luar negara dengan impian palsu dan sentimen anti-kerajaan.
"Kenapakah mereka (pembangkang) berminat sangat dengan anak muda (pelajar) di luar sana? Kami ini adalah pelajar dan kalau nak kata kami balik mengundi pun, peratusannya kecil.
"Di London contohnya, mereka cuba meracuni minda-minda pelajar kita di sana dengan mengadakan pelbagai aktiviti sebagai strategi untuk meraih sokongan kami.
"Contohnya mereka membentuk kumpulan penyokong yang dinamakan "Fans of Pakatan" dan mereka juga membuat aktiviti kebajikan seperti mengumpul dana untuk menarik sokongan ramai," katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Di Mesir pula, katanya pembangkang turut menempatkan ejen-ejen mereka yang ditempatkan di dalam kumpulan kalangan penuntut bagi tujuan sama iaitu untuk membangkitkan sentimen anti kerajaan selain untuk mempengaruhi pemikiran mereka.
"Ini akan menyenangkan mereka menyampaikan ideologi palsu mereka ini untuk pengaruhi minda pelajar seperti kami," katanya.
Mohd Rizal berkata para penuntut khususnya golongan cerdik pandai di luar negara dilihat sebagai aset kepada pembangkang kerana kumpulan pelajar ini mampu mempengaruhi landskap pemerintahan negara pada masa depan.
Beliau berkata Kelab Umno Luar Negara yang diwujudkan antara lain akan membantu memperjelaskan dasar kerajaan dan isu semasa selain menangkis tohmahan yang dilemparkan kepada negara.
"Kami Kelab Umno Luar Negara akan berterusan mengekang agenda sempit yang dibawa pembangkang untuk mempengaruhi minda pelajar kita," katanya.
--Bernama