Golongan bukan Melayu didakwa tidak setia dalam BN kerana mengambil kesempatan memonopoli negara ini apabila orang Melayu mulai leka, kata seorang pewakilan dalam mesyuarat agung Umno 2010.
Hasnoor Sidang Husin – wakil Melaka – berkata sekiranya permuafakatan “ayahanda-ayahanda” kita yang terdahulu dilanggar, akan wujudlah insiden seperti peristiwa 13 Mei 1969.
“Apakah kuota 30 peratus untuk bumiputera terlaksana? Pada pendapat saya, kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana golongan bukan Melayu tak bantu pencapaiaan tersebut.
“Hingga hari ini, bukan saja tak bantu, sebaliknya mempertikaikan dasar tersebut.
"Pada pendapat saja pacal yang hina, orang bukan Melayu tak ikhlas sebagai sahabat kita dalam BN,” kata Hasnoor yang juga pemimpin bahagian Bukit Katil.
Kata-kata penuh bersemangat tersebut bukan sahaja disambut tepukan dan sorakan daripada perwakilan yang hadir tetapi turut menarik perhatian pengerusi persidangan yang kemudiannya secara berseloroh memintanya menarik balik perkataan "pacal yang hina".
Ketika membahaskan usul ekonomi sebentar tadi, Hasnoor berkata, seperti "ayahadannya" yang berani mencipta DEB, "anakandanya" pula mestilah berani melaksanakannya sampai sebarang kompromi.
"Mengagihkan kek ekonomi hendaklah seperti permainan golf, bukan seperti permainan ragbi yang semuanya dalam keadaan ganas," kata Hasnoor.
Justeri, menurutnya lagi, negara ini mestilah mewujudkan ekosistem ekonomi yang bersandarkan keadilan sosial dan bukannya ditentukan oleh pasaran semata-mata.
"Betulkan ini, pasaran tak sempurna. Wujudkan padang permainan yang sama rata. Sektor swasta mesti dipatikan jadi pemacu ekonomi dan menghapuskan diskriminasi terhadap kaum bumiputera," katanya.
Sementara itu, mengulas soal pendekatan ekonomi, Hasnoor berkata, sesuatu dasar yang hendak diterapkan hendaklah tidak menekankan tentang pertumbuhan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira soal pengagihannya.
"Ingatkan, apa model pun yang hendak dilaksanankan, perancangan mestilah mengambil kira kepentingan bangsa Melayu, kerana kalau Umno tidak lagi berjuang untuk nasib Melayu, apalah ertinya kia masih berada dalam dewan keramat (PWTC) inI," katanya.
Menurut Hasnoor lagi, jangan sampai "bangsa lain mendapat daging, orang Melayu mendapat tulang".