Datuk Awang Adek Hussin berkata penyediaan projek besar, termasuk pembinaan bangunan pencakar langit cukup penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan menyediakan infrastruktur kelas pertama.
Sehubungan itu, timbalan menteri kewangan itu menyeru orang ramai supaya tidak tertipu dengan pembangkang yang didakwanya tidak mahu menlihat ekonomi negara itu meningkat maju.
"Kalau boleh mereka tidak mahu melihat kadar pertumbuhan ekonomi kita tinggi, supaya mereka boleh menghasut rakyat untuk benci kepada kerajaan," katanya yang juga ahli majlis tertinggi Umno.
"Perlu diingatkan, di negara-negara maju, tidak ada orang pun yang mempersoalkan projek-projek besar. Bangunan pencakar langit bukan satu atau dua, bahkan semuanya adalah bangunan-bangunan tinggi.
Minggu lalu, ketika membentangkan Bajet 2010, Perdana menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek bangunan 100 tingkat yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Malaysia dan antara yang tertinggi di dunia.
Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pembangkang. Malah kempen di Internet melalui kumpulan di laman Facebook juga mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada rakyat Malaysia yang menolak projek mega itu.
Bercakap dalam mesyuarat agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur hari ini, DrAwang Adek menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit yang "tak sabar-sabar nak masuk Putrajaya" sedangkan projek itu pernah dikiritiknya sebelum ini.
"(Pembangkang) cakap tak serupa bikin. Kita tak boleh, dia tak apa," katanya.
Menurut Dr Awang Adek lagi, pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur merupakan strategi bijak mempelbagaikan pelaburan supaya negara tidak terlalu bergantung pada pelaburan asing.