Perhimpunan agung tiga sayap Umno tahun ini bermula dengan seruan daripada ketua-ketua sayapnya supaya anggota parti mengamalkan budaya politik baru ke arah kesederhanaan.
Namun indikasi yang ditunjukkan daripada para perwakilan setakat ini dilihat masih belum menunjukkan bahawa saranan berkenaan diterima dengan baik.
Istilah yang diperkenalkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya seperti "manhaj" (kaedah) dan "maqassid" (tujuan) dalam mencapai "politik baru" itu juga nampaknya diabaikan oleh para perwakilan di perhimpunan Pemuda petang ini.
Sebaliknya tumpuan dalam perbahasan perwakilan antaranya berkisar kepada wakil Pemuda Kedah, Basorri Hassan dalam menilai prestasi Khairy sebagai ketua pergerakan tersebut.
Basorri nyata kesal apabila Khairy tidak berjaya memperkukuhkan pergerakan pemuda di negeri itu. Keadaan ini dikhuatirinya akan menjejaskan peluang Umno untuk merampas kembali pentadbiran negeri itu.
Malah, beliau juga seolah-olah cuba mencabar seruan oleh Khairy supaya pergerakan itu mengambil pandangan yang lebih sederhana dalam memperjuangkan isu melibatkan kepentingan Melayu.
Tanpa berselindung, Basorri dalam sesi perbahasan ucapan dasar ketua pergerakannya petang ini berkata, Khairy lebih banyak "bergaduh" dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) daripada menjalankan usaha untuk "memperkasakan" pergerakan itu di Kedah.
"Pemuda sendiri di pusat jangan tengok kawan di bawah kecil, tapi kena ingat yang bawah juga tengok orang di atas kecil," katanya yang seolah-olah kecewa kerana menyokong Khairy dalam pemilihan lalu.
Basorri berkata, beliau merupakan satu-satunya ketua pemuda di negeri itu yang menyokong Khairy sebagai ketua sayap pergerakan tersebut.
3G - gemuk, gempal dan gebu
Umum mengetahui, Kedah dipengaruhi kuat oleh Datuk Mukhriz Mahathir -- anak kepada bekas presiden Umno yang sering dianggap tidak sebulu dengan Khairy.
Khairy dalam ucapan penggulungannya kemudian memulangkan paku buah keras kepada Basorri.
Dengan sinis, Khairy menyimpulkan bahawa pandangan seperti itu merupakan antara sikap yang patut dikikis oleh pemuda Umno sekiranya anggotanya ingin memperkukuhkan pergerakan tersebut.
Menurut Khairy, ramai di kalangan anggota Pemuda yang menyatakan bahawa mereka sayang kepada parti, namun lebih banyak berfikir untuk memenangi pemilihan parti.
Katanya lagi, anggota parti sebaliknya perlu mencontohi kesepakatan yang ditunjukkan dalam Pakatan Rakyat -- "Kalaupun mereka tidak sokong (pemimpin tertentu) dalam parti, kalau ada orang parti mereka kena serang, mereka akan bangun pertahankan."
Sementara itu di sayap Puteri pula, tahap perbahasan perwakilannya dilihat agak mengecewakan untuk perhimpunan seperti ini.
Isu yang menarik perhatian dan dilaporkan agensi berita ialah isu "3G" -- iaitu keadaan fizikal anggota pergerakan tersebut yang "gemuk, gempal dan gebu."
Perkara itu dibangkitkan wakil Perak yang mengaitkannya dengan tahap obesiti di Malaysia.
"Bagaimanapun bukan wanita saja yang ada 3G tetapi lelaki pun ada 3G siap tambah 2G lagi, iaitu gendut dan gondol, jadilah 5G," katanya, seperti dilaporkan Bernama .