Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan bahawa ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perhimpunan agung parti itu malam ini cuba memancing undi kaum bukan Melayu.
"Tidak, tidak. Ini bukan untuk memancing undi mana-mana pihak....
"Tan Sri Muhyiddin berkata, ini bukan perkara yang baru. Beliau kata (perkara sama) dulu, kini dan selamanya. Semenjak Umno ditubuhkan, inilah strategi kita.
"Kita nak pastikan tradisi kita dapat ditingkatkan lagi," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur selepas persidangan tiga sayap Umno dirasmikan sebentar tadi.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh Umno bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis.
Menurutnya, ini kerana ia dilaksanakan dalam konteks kesepakatan untuk membentuk formula politik kerjasama kaum yang inklusif di mana semua kaum mendapat jaminan hak dan layanan yang adil.