Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Pemuda Umno Kedah terkilan desakan letak jawatan
Diterbitkan:  Oct 17, 2010 4:22 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Ketua Pemuda Umno Kedah Badrolhisham Hashim hari ini meluahkan rasa terkilan serta terkejut dengan tindakan sekumpulan individu, yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Badan Bertindak Selamatkan Kedah', mendesaknya meletakkan jawatan baru-baru ini.

Badrolhisham berkata, walaupun beliau sangat terbuka dalam menerima teguran serta kritikan, namun tindakan yang dilakukan kumpulan itu menunjukkan seolah-olah mereka parti pembangkang, dan beliau tidak akan berdiam diri.

"Dalam politik, tidak semua orang akan menyukai kita, tindakan yang dibuat oleh mereka tidak melemahkan saya kerana saya mendapat sokongan di semua bahagian.

"Tetapi saya berharap agar kumpulan individu itu jangan cuba mengucar-ngacirkan apa yang telah kita ada, kita tidak mahu parti bermasalah disebabkan orang-orang seperti ini," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Umno Kedah di Alor Setar.

Beliau berkata perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat pengurusan parti agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Khamis lepas, kumpulan itu, yang diketuai pengerusinya Sobri Sudin, telah menghantar satu memorandum kepada Setiausaha Kerja Pemuda Umno Kedah Tahir Md Zain, bagi mendesak Badrolhisham melepaskan jawatan.

Desakan itu dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Badrolhisham yang didakwa gagal mengemudi pergerakan Pemuda Umno Kedah dengan berkesan.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS