Strategi 'laut biru' Umno yang mahu mengkaji semula sistem kuota dalam BN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang disambut sinis oleh lawan politiknya daripada PAS.
Bagi Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir, strategi itu sebenarnya "bermain-main" untuk merampas kerusi MCA, MIC dan GERAKAN, khasnya di kawasan-kawasan campuran.
Bekas setiausaha akhbar kepada presiden PAS Datuk Seri Abdull Hadi Awang itu berkata, berkata, pendekatan "rampas-merampas" itu kemudiannya akan mencetuskan ketegangan yang mengakibatkan "retak semakin membelah" dan hancur berkecai.
Bagaimanapun, tambahnya, Umno sudah lupa bahawa parti itu juga kecundang di beberapa kerusi campuran, termasuk kerusi majoriti Melayu di Selangor seperti di Hulu Kelang (81 peratus) dan Gombak Setia (80 peratus).
"Hakikatnya bukan MCA, MIC dan GERAKAN silap, Umno lebih 'dajal' lagi. Mereka pun kalah dan kecundang tetapi yang mereka nampak adalah keburukan dan kelemahan kawan-kawan," coretnya dalam blog terbarunya pagi ini.
"Laut biru yang mahu dijadikan strategi itu membawa maksud lautan dalam, barangkali selain kita membuang tayar-tayar buruk untuk dijadikan tukun-tukun tiruan, maka sudah sampai masanya, lautan biru yang besar dan dalam itu dijadikan sekali tempat persemadian, Umno dan rakan-rakannya MCA, MIC dan Gerakan bersekali.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan BN perlu mengamalkan strategi ‘laut biru' yang berpandangan jauh dengan mengkaji semula pembahagian kuota kerusi kawasan pilihan raya bagi membolehkan parti itu menang selesa pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kaedah pembahagian kuota kerusi sedia ada dilihat sudah tidak lagi praktikal dengan kehendak pengundi terutamanya selepas tsunami politik pada Mac 2008.
Sebelum ini, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyarankan agar sistem kuota itu dikaji semula jika pengundi tidak selesa dan tidak suka dengan calon daripada parti komponen BN yang bertanding di sesuatu kawasan itu.
Cadangan tersebut kemudiannya disambut baik Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu semua parti komponen BN berlapang dada untuk mengkaji kelemahan masing-masing dan pada masa yang sama mempraktikkan sistem baru dalam soal pembahagian kerusi.