Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, dasar ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam sektor ekonomi tidak perlu dibangkit atau dipertikaikan oleh mana-mana parti komponen BN demi menjaga perpaduan dan keharmonian parti.
Berasaskan faktor itu juga katanya, parti komponen BN tidak harus mempertikaikan beberapa isu lain termasuk kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC).
“Sama juga seperti Perkara 153 Perlembagaan negara, (perkara) yang tak masuk Perlembagaan seperti ekuiti 30 peratus, kita perlu ada hormat terhadap aspirasi masing masing.
"Saya tak akan pertikai SJKC tapi pada masa sama mereka (parti komponen) perlu letak kaki dia dalam kasut kita. Sekiranya kita mengamalkan pendekatan itu semua dan menjaga aspirasi masing-masing saya rasa tak ada masalah,” katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.
Khairy yang juga Ketua Pemuda BN mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada perhimpunan agung parti itu Ahad lalu yang sekali lagi menyentuh isu ekuiti bumiputera.
- Bernama