Lebih 100 penduduk kampung mengadakan tunjuk perasaan secara aman di hadapan masjid Bukit Katil petang semalam kerana membantah tindakan kerajaan negeri Melaka yang bercadang mengambil tanah sebuah pusat asuhan tunas Islam dan surau di kampung berkenaan untuk pembinaan sebatang jalan raya.
Demonstrasi itu anjuran badan bertindak perobohan pusat asuhan tunas Islam (PASTI) dan Surau Bukit Katil.
Menurut pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, penduduk kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah pusat asuhan dan surau berkenaan.
"Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.
“Di sana ada tanah kosong yang boleh diambil untuk buat jalan mengapa tanah di sini yang diambil sedangkan tanah kosong tersebut lebih sesuai tidak melibatkan surau, PASTI dan rumah rakyat," katanya dengan berang.
Menurut Abdul Ghani, tindakan kerajaan itu disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.
Tunjuk perasaan secara aman ini bagaimanpun diarahkan oleh polis supaya dihentikan kerana didakwa mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit.
Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata penguakuatsaan Akta Tanah yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan telah melucutkan hak rakyat.
"Rakyat sudah tidak ada kuasa dan hak ke atas tanah milik mereka sendiri, bila-bila masa kerajaan boleh ambil dan ianya sukar dicabar di mahkamah,"katanya.
Tunjuk perasaan ini juga dihadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat Melaka yang lain. Antara mereka ialah pengerusi DAP, Goh Leong San; ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; ADUN Bachang, Lim Jak Wong; ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.
Mereka kemudian bersurai tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.