Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomi negara dijangka meningkat kepada 7 peratus
Diterbitkan:  Oct 15, 2010 4:42 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan kukuh pada tujuh peratus tahun ini berbanding -1.7 peratus tahun lepas, didorong oleh permintaan domestik yang mantap dan prestasi eksport yang memberangsangkan.

    

Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2010/2011 berkata pertumbuhan positif ini akan berterusan pada tahun depan, dengan ekonomi negara dijangka berkembang antara lima hingga enam peratus, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik dan disokong oleh sektor luaran yang menggalakkan.  

Menurut kementerian itu dalam tempoh separuh pertama 2010 ekonomi Malaysia telah berkembang pesat sebanyak 9.5 peratus, didorong oleh pasaran buruh yang stabil, kadar inflasi yang sederhana, keyakinan peniaga dan pengguna yang mantap serta pemulihan kukuh ekonomi serantau yang telah menyediakan persekitaran yang kondusif.

    

Sementara itu, dalam tempoh separuh kedua 2010, pertumbuhan bagi negara maju dijangka perlahan dan tidak menentu.

    

Bagaimanapun, pertumbuhan negara membangun yang berkembang pesat kekal positif manakala bagi Malaysia pula, asas ekonomi yang kukuh dan pemulihan pelaburan swasta dijangka menyokong permintaan domestik pada separuh kedua.

    

Kementerian itu berkata asas ekonomi yang kukuh akan terus mendorong momentum pertumbuhan permintaan domestik dan aktiviti pelaburan swasta yang kembali positif pada tahun 2010 dijangka terus menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi.

    

Perkembangan ini sejajar dengan jangkaan bermulanya 52 Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-10 serta pelaksanaan projek swasta menerusi Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA).

    

Penggunaan swasta dijangka kukuh berikutan peningkatan pendapatan boleh guna isi rumah dan kadar pengangguran yang rendah.

    

Prospek pertumbuhan juga didorong oleh harga komoditi utama yang kukuh, seterusnya menggalakkan perbelanjaan isi rumah luar bandar pada tahun 2011.

Menurut kementerian itu memandangkan sektor swasta dijangka menerajui pertumbuhan, perbelanjaan awam akan berkembang pada kadar yang lebih perlahan, mencerminkan  komitmen kerajaan ke arah pengurusan fiskal berhemat.  

    

Pertumbuhan dijangka menyeluruh dengan sumbangan positif daripada semua sektor ekonomi dengan sektor perkhidmatan terus kekal sebagai penyumbang utama dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    

Sektor pembuatan dijangka berkembang seiring dengan aktiviti pelaburan dan penggunaan yang rancak manakala sektor pertanian dijangka meningkat, disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dan harga komoditi yang kukuh.

    

Di samping itu, sektor perlombongan dianggar berkembang berikutan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi dan sektor pembinaan juga dijangka

berkembang dengan lebih kukuh berikutan peningkatan aktiviti harta tanah bukan kediaman dan pemulihan pembinaan rumah kediaman serta pelaksanaan segera projek kejuruteraan awam yang utama.

- Bernama

ADS