Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kita berasa sungguh bangga kerana ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas.
Satu lagi mercu tanda yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd ialah Warisan Merdeka, yang dijadual siap pada 2020," katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Menara itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.
Kos projek berjumlah RM5 bilion, dengan menara dijangka siap pada 2015.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada tiga projek pembinaan mega yang diumumkannya.
Ia adalah antara projek strategik impak tinggi yang akan merangsang permintaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang.
Turut diumumkan adalah projek transit aliran ringan (MRT) di Greater KL bernilai RM40 bilion yang akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta dan dijangka siap menjelang 2020.
Najib juga berkata, pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia, di Sungai Buloh seluas 1,072 hektar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengandungi kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana bernilai RM10 bilion, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Perdana Menteri berkata, satu lagi projek impak tinggi adalah pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), bermula tahun depan dengan nilai anggaran RM26 bilion.
Projek akan dilaksanakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala), syarikat pelaburan Kerajaan Abu Dhabi.
KLIFD akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional, termasuk pakar syariah.