Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong enggan mengesah atau menyangkal dakwaan balas bahawa Rahimi Osman - bekas pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - tidak dipaksa atau dikurung.
Wee ( bawah, kiri ) berkata peranannya dalam hal ini hanya terhad sebagai pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan Rahimi menandatangani satu akuan bersumpah pada 29 Jun 2008.
"Rahimi hanya menyatakan dalam akuan bersumpah itu bahawa dia bimbangkan keselamatan dirinya. Tidak ada (di dalamnya) yang melibatkan orang lain," kata Wee kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Rahimi menjadi tumpuan Rabu lalu, apabila dia menuduh peguam Latheefa Koya dan yang lain, menahannya di Hotel Quality, Shah Alam dan memaksanya untuk menandatangani akuan bersumpah palsu.
Antara lain, Rahimi mendakwa dia dipaksa untuk melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak - timbalan perdana menteri ketika itu - dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam konspirasi terhadap Anwar.
Latheefa dan yang lain telah menafikannya berkali-kali, dan yang terbaru, mendakwa Wee telah menyaksikan akuan sumpah itu ditandatangani secara sukarela.
Hari ini, Wee tidak mendedahkan sama ada Rahimi sememangnya dipaksa, tetapi menegaskan bahawa dia kelihatan "gugup" dan sentiasa dikawal ketat.
"Rahimi memang nampak gugup dan begitu juga Anwar sewaktu akuan bersumpah itu dibuat. Itulah pertama kali saya bertemu Rahimi, "katanya.
Rahimi (kanan) berkata dia tidak terlibat dalam akuan bersumpah kedua kerana dia diberitahu bahawa ia akan melibatkan individu-individu tertentu.