Sebanyak 35 cabang PKR gagal menyerahkan pencalonan untuk jawatan tertinggi parti itu setelah tarikh akhir untuk berbuat demikian tamat pada 10 Oktober lalu.
Pentadbir pemilihan, Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin berkata, walaupun pihaknya mengambil pelbagai inisiatif dengan membuat panggilan bagi memperingatkan perkara itu dengan kerap, masih ada yang gagal berbuat demikian.
Bagaimanapun, menurutnya lagi, perkara itu tidak menjejaskan peluang anggota parti yang berminat bertanding jawatan tertentu di peringkat pusat PKR.
"Tidak ada jejaskan peluang mana-mana pihak. Kalau serah pun tak ada orang baru dapat. Ia hanya menambahkan bilangan pencalonan calon sedia ada," kata Raden Shamsulkamar.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Raden Shamsulkamar juga memberitahu, daripada 195 cabang parti itu di seluruh negara, sebanyak 160 berjaya menghantar keputusan pencalonan tepat pada masanya.
Sebanyak 10 cabang lagi yang gagal bermesyuarat dianggap tidak aktif, tambahnya.
Sementara itu, beliau juga mengesahkan tiga orang telah layak bertanding jawatan presiden, tujuh timbalan presiden dan sebanyak 209 untuk anggota majlis pimpinan pusat.
Menurut Raden Shamsulkamar juga, semua calon yang layak akan mengesahkah menerima pencalonan pada 16 Oktober ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
"Ini acara media, semua dijemput datang," katanya.
Tarikh pemilihan jawatan tertinggi bagi cabang akan dijalankan secara berperingkat mulau 30 Oktober ini. Kongres tahunan PKR pula akan berlangsung selama tiga hari pada 26 November depan.