Kerajaan telah menarik balik rang undang-undang bagi meminda Akta Kerja 1955 yang sebelum ini dibidas oleh kumpulan hak asasi manusia dan juga kesatuan sekerja.
Sejurus sebelum sesi soal-jawab di Dewan Rakyat, pagi ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan memaklumkan bahawa rang undang-undang kerja itu telah ditarik-balik.
Tiada alasan yang diberikan oleh Maznah bagi keputusan terburu-buru itu.
Sebelum ini, kerajaan mendakwa pindaan Akta Kerja itu menguntungkan pekerja kerana ia akan memperkembangkan undang-undang itu agar meliputi pekerja separuh masa, ganguan seksual, perlindungan gaji dan termasuk juga perkara berhubung kebajikan dan cuti tahunan.
Rang undang-undang itu adalah untuk meminda tiga undang-undang pekerjaan iaitu Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Namun, ada juga yang kurang berpuas hati dengan beberapa klausa yang didakwa merugikan pekerja kontrak dan mereka yang dalam tempoh percubaan.
Mereka menganggap cadangan pindaan itu yang paling buruk dalam sejarah pekerja di Malaysia dan semua pindaan berkenaan didakwa hanya akan menguntungkan majikan sahaja.