Puteri Umno berang dengan kenyataan setiausaha agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor yang menganggap pergerakan itu dan Pemuda Umno seperti tidak bermaya dan ahli mereka hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.
Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata beliau sedih dengan kenyataan itu dan akan menimbulkan rasa tidak puas hati mereka pada mesyuarat majlis tertinggi Umno yang akan datang.
Katanya, adalah tidak adil bagi Tengku Adnan membuat kenyataan umum seumpama itu sedangkan hakikatnya ahli Pemuda dan Puteri melakukan apa yang terdaya mereka untuk parti dan kerajaan.
"Ramai di akar umbi bertungkus lumus siang dan malam, membantu parti dan kerajaan, antaranya menjalankan aktiviti politik. Pemuda mempunyai 700,000 ahli manakala Puteri pula mempunyai sekitar 340,000.
"Mustahil semua mereka yang memilih Umno dan BN mementingkan jawatan,” kata Rosmah pada jamuan hari Raya yang dianjurkan bersama oleh Wanita Umno, Pemuda dan puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur.
Berita Harian hari ini melaporkan bahawa Tengku Adnan, sedih dengan pergerakan Pemuda dan Puteri yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.
Katanya, masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan itu mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan.
“Saya sangat sedih dengan Pemuda, mereka ini tidak faham mengenai perjuangan parti kerana mereka tidak datang daripada bawah.
“Mereka ingat apabila sudah mendapat jawatan dalam parti, mereka boleh mendapat tempat dalam kerajaan. Mereka ghairah untuk mendapat jawatan.
“Begitu juga dengan Puteri yang menghadapi masalah sama,” kata setiausaha agung Umno itu.
Menurut Rosnah, yang juga adalah timbalan menteri kesihatan, kenyataan Tengku Adnan ( atas, kanan ) itu pasti akan melunturkan semangat kedua-dua sayap Umno berkenaan.
"Saya kenali beberapa pemimpin Puteri yang kehilangan jawatan kerajaan mereka kerana perjuangan parti, malah ada yang meninggalkan keluarga mereka untuk tempoh yang lama,” katanya.
Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula mengambil pendirian diplomatik berhubung perkara berkenaan.
"Kami terima sebarang maklumbalas, tetapi berikan butirannya. Jangan buat kenyataan umum kerana ia tidak membabitkan semua orang.
"Tiada apa untuk (Tengku Adnan) memohon maaf.
"Kita tidak akan berperang terhadap satu sama lain. Apa gunanya? Kita berbincang secara keluarga, dan saya tidak akan membaling kerusi seperti yang berlaku di Keadilan,” kata Khairy dengan sinis.