Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung bayaran tanaman semula kepada peneroka "kerana ia menyebelahi Felda".
"Felda tidak kalah dalam kes ini. Kita tidak merayu kerana selama ini, mereka yang menguruskan kebun sendiri memang diberi wang tanaman semula itu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Felda," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam satu sidang akhbar hari ini.
Beliau yang juga ketua penerangan Umno menjawab kenyataan pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang dipetik oleh Harakah sebagai berkata "Felda Kalah lagi".
Pada 29 September lalu, Harakahdaily melaporkan Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.
Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya berikutan saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.
Namun, hakim memutuskan, bayaran berkenaan hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.
Hakim menolak hujah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak mencukupi.
"Ini bermakna, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuantan adalah selari dengan dasar Felda mengenai proses pengeluaran wang Tabung Tanam Semula," tambah Ahmad dalam satu kenyataan yang diedarkan di sidang akhbar tersebut.
Menurutnya, Felda tidak pernah menghalang atau menyekat pemberian wang tanam semula kepada mana-mana peneroka yang tanam semula secara sendiri.
"Walau bagaimanapun, wang tanam semula tersebut boleh diberi sekiranya peneroka terlibat mematuhi syarat atau garispanduan yang telah ditetapkan oleh Felda," katanya.
Menurutnya lagi, keputusan mahkamah tersebut adalah selari dengan dasar Felda mengenai proses pengeluaran wang Tabung Tanam Semula.
"Ia juga secara tidak langsung menunjukkan garis panduan selama ini adalah sesuai untuk diterima pakai. Dalam kes ini, Felda sebenarnya tidak kalah. Jika mereka tidak mengemukakan saman, Felda telah pun melaksanakan keputusan," katanya.
Ahmad juga menegaskan bahawa adalah tidak benar bahawa wujud 11,000 peneroka yang perlu dibayar RM261.8 juta oleh Felda "kerana tanaman semula adalah proses berterusan".
"(Seramai) 14,882 peneroka yang menguruskan sendiri kebun dan mengikut garis panduan Felda, telah dan sedang dibayar wang tanam semula," tambahnya.
Katanya, tiga peneroka daripada 11 peneroka Sungai Koyan itu telah dibayar kerana mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.
"Jadi tiada isu yang mengatakan bahawa Felda enggan membayar wang tanam semula tersebut seperti yang dinyatakan oleh Mazlan Aliman," katanya.