Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, mantan bosnya Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berubah menggunakan pendekatan “mengapi-apikan sentimen Melayu” disebabkan penangan kerusi perdana menteri yang sedang diintainya.

NONE Mustaffa – bekas setiausaha politik Muhyiddin selama empat tahun sehingga Disember 2008 - berkata   perkara itu juga disebabkan keadaan politik sekarang berbeza berbanding ketika Muhyididin memimpin kementerian belia dan sukan lebih sepuluh tahun lalu.

“Ada perbezaan pendekatan sebab dalam hal sekarang ini, beliau sudah mula mengintai kerusi nombor satu negara,” katanya ketika ditanya sama ada Muhyididin masih merupakan orang yang sama.

“Jadi sebab itu (sekarang ini), segala langkah yang beliau (Muhyiddin) ambil, sifatnya adalah untuk mengintai peluang kerusi nombor satu negara.”

NONE Mustaffa - yang meletakkan jawatan bagi menyertai reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim – berkata, pendekatan Muhyididin kini  “berganjak” kerana kedudukannya dalam Umno tidak lagi “terancam”.

Sebelum ini, menurut Mustaffa, Muhyiddin bergelut membuang label sebagai “orang kanan Anwar”, antaranya kerana menjadi antara menteri terawal melawat Anwar setelah dibebaskan daripada penjara.

Alat Dr Mahathir

“Sehingga dalam banyak keadaan (pada masa itu) beliau agak tersisih daripada arus perdana politik (perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada masa itu.

NONE “Tetapi kini beliau sudah dapat rasakan ada kekuatan yang tersendiri, oleh itu pendekatan dan imej yang beliau ketengahkan agak berbeza berbanding 10 tahun  lalu,” kata aktivis belia dan NGO Islam itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur tengah hari semalam, Mustaffa tidak menolak kemungkinan timbalan perdana menteri “yang sukar senyum tetapi berhati baik” itu mungkin diperalatkan Dr Mahathir bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam konteks politik Umno, hal itu mungkin saja berlaku,” katanya sambil berkata perkara itu mungkin bertujuan mempertahankan legasi panjang pemerintahan Dr Mahathir sebelum ini.

azlan Tanpa segan, Mustaffa - yang kini mengorak perjalanan politiknya sendiri melalui PKR dan mula menggapai kedudukannya yang sama dengan Muhyiddin dalam Umno sebagai timbalan – sanggup  berdebat dengan mantan bosnya itu berhubung isu Melayu.

“Apa yang tidak betul, kita akan kritik, termasuk (isu) yang terbaru ini. Beliau yang  kita faham berada di belakang PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) membawa sentimen Melayu... Dan saya sedia mencabar beliau (nyatakan) juga bagaimana bentuk Melayu yang kita ketengahkan?

Tiga persamaan dengan Muhyididin

“Apakah Melayu yang boleh mengizinkan rasuah boleh berleluasa? Atau apakah pimpinan Melayu boleh membenarkan penyelewengan wang rakyat terbiar begitu sahaja?” soal Mustaffa bertubi-tubi.

NONE “Jika ingin beliau gunakan sebagai alat untuk memenuhi aspirasi serta serakah politik Umno, itu kita akan serang habis-habisan. Dan jika beliau ingin berdebat, kita juga sedia berdebat dengan beliau dalam hal itu.”

Menurut analisis Mustaffa juga, dalam masa yang sama pendekatan Muhyiddin dilihat berbeza dengan Najib yang menurutnya cuba mengambil hati masyarakat bukan Melayu.

“Itu sifatnya (politik) pedang bermata dua, double standard dalam politik yang mereka lakukan,” kata Mustaffa.

Menegaskan PKR mengamalkan politik nilai yang tidak berasaskan perkauman, 'politik lama' Umno dan BN itu sudah mula pecah, terutamanya apabila peneroka Felda dan Felcra sebagai penyokong kuat kerajaan didakwa sudah berubah.

Bagaimanapun, di sebalik semua kritikan keras itu, Mustaffa mengakui, beliau pada 12 tahun lalu berkongsi tiga persamaan dengan Muhyididin, iaitu saling menekuni aspek kepemudaan, hampir dengan nilai keagamaan dan memberi “dokongan baik” kepada Anwar.

Karektor itulah yang mungkin mewujudkan keserasian antara mereka dalam satu pasukan, akui Mustaffa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS