Debat PAS-Umno mengenai isu sekolah agam rakyat (SAR) akan berlangsung secara tertutup bertempat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur Ahad ini.
Debat itu adalah antara Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob.
Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman yang akan mempengerusikan debat itu, berkata hanya mereka yang menerima kad jemputan ke majlis itu sahaja dibenarkan masuk ke Balai Budaya Tun Syed Nasir.
Debat itu, anjuran Pemuda Umno Bahagian Cenderoh dan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dengan kerjasama DBP, dijadualkan bermula jam 8.30 malam.
Ketika dihubungi malaysiakini petang ini, Aziz berkata jawatankuasa penganjur sudah memperuntukkan 300 kad, masing-masing untuk Pemuda Umno dan Pemuda PAS, manakala 200 kad lagi dikhaskan untuk DBP.