Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua penerangan PAS Idris Ahmad berkata, peningkatan sokongan terhadap calon Umno semasa pilihan raya kecil Manek Urai tahun pada 2008 bukan disebabkan apa-apa modul tertentu yang unik kepada pilihan raya itu saja.

azlan "Dalam mana-mana pilihan raya juga sama, mereka hanya ada satu modul iaitu gunakan sumber kewangan dan menabur janji-janji," katanya dan menambah, janji tersebut termasuk pembinaan satu jambatan baru di Manek Urai.

Jambatan dua lorong dianggarkan bernilai RM7 hingga RM10 juta itu diumumkan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen pilihan raya kecil tersebut, bagi menggantikan satu jambatan merentasi Sungai sedia ada di kawasan itu.

"Kita akan dedahkan balik janji-janji ini di Galas," kata Idris lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kesan daripada janji jambatan tersebut, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah menang tipis untuk mengekalkan kerusi tersebut dengan kelebihan 65 undi sahaja, berbanding 5,283 undi yang diperolehi calon BN Tuan Aziz Tuan Mat.

manek urai by election result 140709 05 Mengulas keputusan tersebut, ada di kalangan pemimpin PAS tempatan beranggapan bahawa ianya disumbang daripada pengundi muda yang tidak mempunyai sikap politik yang jelas dan mudah disogok dengan janji-janji BN.

Melihat realiti semasa pula, Idris berkata Manek Urai bukanlah penanda aras sebenar bagi sokongan daripada golongan pengundi muda.

Jelasnya, pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai tahun lalu berlangsung ketika Pakatan Rakyat masih baru membentuk kerajaan di negeri-negeri yang dikuasainya.

"Ketika pilihan raya umum ke-12, anak muda kita telah tunjukkan kelainan sikap mereka (apabila ramai yang mengundi calon Pakatan Rakyat).

NONE "Tapi kita baru bentuk kerajaan sendiri, kesannya belum kelihatan (oleh mereka)," katanya lagi.

Ketika ditanya, beliau juga berkata PAS setakat ini masih belum mempunyai apa-apa senarai calon untuk pilihan raya kecil Galas.

Ditanya lanjut, beliau berkata mesyuarat PAS Pusat semalam juga tidak membincangkan perkara itu.

Katanya lagi, PAS Pusat menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab untuk memilih calon kepada PAS negeri.

"PAS negeri akan mesyuarat (mengenai calon Galas) selepas SPR umumkan tarikh untuk pilihan raya kecil (Galas)," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS