Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan bertolak ansur terhadap mahasiswanya yang melibatkan diri dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kata Naib Canselor UUM Prof Mohamed Mustafa Ishak.
Beliau berkata pihak pengurusan universiti akan bertindak tegas termasuk menggantung mahasiswa terbabit.
Bercakap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Taman Teknologi Malaysia, Datuk Nasarudin Hashim di Parit hari ini, beliau berkata tindakan tegas terpaksa diambil bagi memastikan pengajian mereka tidak terjejas akibat sibuk berpolitik.
"Sebagai mahasiswa, mereka perlu mematuhi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang melarang penglibatan pelajar dalam parti politik serta kesatuan sekerja.
"Akta tersebut digubal demi kepentingan mahasiswa itu sendiri bagi memastikan pengajian mereka tidak terjejas. Tamatkan dulu pengajian masing-masing sebelum melibatkan diri dalam politik atau berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk digantung pengajian mereka sebagai mahasiswa," katanya.
Kerusi DUN Galas di Kelantan kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lalu.
- Bernama