Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan badan kehakiman dan mahkamah supaya berhati-hati dalam mengadili kes-kes sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat termasuk melibatkan kuasa raja.
Sultan Ibrahim bertitah kes sensitif yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana dikhuatiri ia boleh mendatangkan rasa tidak puas hati kepada sesuatu pihak.
"Kes-kes mahkamah yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana jika mahkamah mendengar kes tersebut dan membuat keputusan, sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati.
“Oleh itu, adalah lebih baik jangan dilayan kes-kes sensitif terutama yang melibatkan kuasa raja-raja," titah baginda pada perasmian seminar Perlembagaan Malaysia peringkat negeri Johor di Johor Baharu hari ini.
Baginda bertitah, sebarang bentuk perbahasan dan pertelingkahan mengenai isu sensitif juga hendaklah dielakkan oleh semua pihak kerana ia hanya akan menambahkan lagi jurang perselisihan terutama antara agama dan bangsa.
Menurut Sultan Ibrahim segala kekeliruan yang timbul perlu diperjelaskan dengan teliti supaya rakyat dapat hidup dengan harmoni, aman damai dan saling menghormati.
Baginda turut membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub sekian lama dalam Perlembagaan negara.
Menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal, Sultan Ibrahim bertitah tindakan yang hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan persekutuan itu akan merosakkan keharmonian kaum di negara ini.
"Kita perlu ingat, keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu tidak menghalang hak kaum lain, malah kaum lain juga diberi hak dan jaminan dalam Perlembagaan. Ini semua terbentuk hasil dari sikap toleransi yang tinggi pemimpin-pemimpin kita dahulu.
"Belajarlah daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang mana kedamaian negara tergadai akibat hilangnya sikap toleransi dan wujudnya golongan pelampau atau ekstremis.
“Golongan inilah yang menjadi dalang merosakkan kedamaian sesebuah bangsa," titah baginda.
- Bernama