Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: Kecoh jadi pengajaran pada PKR
Diterbitkan:  Oct 3, 2010 3:42 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Walaupun kecewa dengan insiden pergaduhan yang berlaku semasa proses pengiraan undi pemilihan PKR cabang Sabak Bernam malam tadi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan ia sebagai pengajaran berguna dalam menguruskan pemilihan parti pada masa akan datang.

Beliau berkata anggota parti mesti matang untuk menerima keputusan pemilihan sama ada kalah atau menang dan ia ditentukan menerusi kertas undi.

"Dalam kempen juga, ia mesti dilakukan dengan tertib, tidak boleh mencerca lawan sebaliknya berbincang bagaimana calon boleh meningkatkan prestasi parti.

"Saya percaya kalau ini dilakukan sudah tentu rakyat memberi kepercayaan kepada parti untuk menerajui mana-mana negeri atau negara," katanya yang ditemui ketika meninjau proses pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor di Stadium Tertutup, di Kuala Selangor hari ini.

Setakat pukul 12.30 tengah hari proses pemilihan masih berjalan dalam keadaan aman dan lancar.

Ditanya kekecohan terbaru pada pemilihan PKR Cabang Sabak Bernam, Abdul Khalid yang mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor enggan mengulas kerana ia adalah tanggung jawab Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

"JPP telah dilantik untuk membuat laporan dan mencadangkan apa-apa keputusan yang boleh diambil untuk menyelesaikan perkara ini. Ia kemudian tertakluk kepada Jawatankuasa Politik Pusat untuk pelaksanaan seterusnya," katanya.

Mengenai pencalonan di peringkat Majlis Pimpinan PKR Pusat (MPP) Ahad depan dan diikuti kempen untuk menentukan pemilihan pemimpin tertinggi parti selepas itu, Abdul Khalid berharap pemilihan dilakukan secara tertib dan kemas sebagai contoh kepada masyarakat bahawa PKR dapat memilih pemimpin yang akan ditentukan oleh 400,000 anggota parti.

Beliau berkata Selangor adalah kawasan terpenting dalam pemilihan MPP kerana ia mempunyai 100,000 orang keanggotaan.

"Ini bermakna lebih 25 peratus daripada pengundi adalah di Selangor dan sudah tentu mempunyai kuasa pemilihan yang besar berbanding 12 kawasan lain.

"Jadi, sudah tentu kita akan menghadapi satu kempen yang hebat di Selangor," katanya.

Pada pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor kali ini, Abdul Khalid dijangka ditentang dua bekas pemimpin PKR cabang iaitu bekas Ketua AMK, Mazli Saring dan bekas Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, selain seorang anggota biasa bekas guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

Seramai 6,123 ahli PKR Cabang Kuala Selangor layak mengundi pada kali ini.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS