Pergerakan Puteri Umno, membuat laporan polis berhubung tulisan yang didakwa berbentuk manipulasi oleh Malaysian Insider , lapor Umno Online .
Menurut ketua penerangannya, Nordiana Shafie, apa yang dinyatakan oleh wartawan portal berita itu, Boo Su-Lyn dalam tulisannya hanya petikan sebahagian daripada ucapan yang disampaikan oleh timbalan pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin
“Wartawan tersebut sengaja memanipulasikannya untuk membangkitkan kononnya Umno adalah parti perkauman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi exconya Seriwani Sabtu membuat laporan polis berhubung hal terbabit di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.
“Mereka tidak beretika, tidak tahu menghormati majlis yang diadakan, dan melakukan sesuatu yang tidak wajar sebagai seorang wartawan,” jelasnya.
Dakwa Nordiana, sesi ceramah yang diadakan adalah tertutup dan pengumuman telah pun dilakukan bagi meminta pihak media keluar dari dalam dewan semasa program dialog bersama negarawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Isnin lalu.
Kurang ajar
“Kita buat laporan polis kerana kita menafikan dakwaan yang ditulis oleh wartawan tersebut malahan semua ahli-ahli pergerakan Puteri yang hadir dalam majlis tersebut bersedia untuk menjadi saksi,” tegasnya.
Dakwa Nordiana lagi, semasa majlis tersebut, wartawan berkenaan telah berlegar-legar di sekitar dewan tetapi telah diminta keluar oleh urus setia apabila menyedari kelibat beliau.
“Lebih teruk lagi, penghinaan dilakukan apabila Boo turut menyamar dengan memakai tudung dan menyelinap masuk ke dalam majlis. Bukankah itu satu perbuatan yang kurang ajar,” katanya.
Program sehari yang yang berlangsung Isnin lalu dihadiri 1,200 ahli pergerakan itu turut melibatkan sesi ceramah tertutup yang disampaikan oleh penganalisis jenayah, Kamal Affendi dan dialog bersama mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Si sepet, si kaki botol
Mengikut portal berita itu, Hamim didakwa menghina dengan melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata dan 'si kaki botol'.
Pegawai kanan BTN itu juga dilaporkan oleh Boo sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.
Ini bukan kali pertama kes wartawan menyambar menimbulkan kemarahan orang ramai. Pada 8 Julai tahun lalu, dua wartawan majalah Al-Islam daripada Kumpulan Utusan Melayu yang dimiliki Umno, menyamar sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.
Wartawan itu mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.
Namun, tiada pemimpin Umno ataupun Puteri yang tampil membidas tindakan berkenaan.