Walaupun ramai melihat Umno dan Utusan Malaysia mempunyai hubungan yang sungguh erat, namun terdapat wartawan-wartawan di harian berbahasa Melayu itu mempunyai pandangan sebaliknya.
Menurut Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia Hata Wahari, tidak seperti dahulu, kini hubungan pekerja-majikan digambarkan lebih 'dingin', termasuk apabila wartawannya rata-rata didakwa mahu Utusan bebas daripada pengaruh Umno.
"Kita lihat Utusan ini milik Umno, tetapi saya tengok tak ada pun Umno jaga (kebajikan) kita. Kita berlari memperjuangkan hak sendiri."
"Kalau betul Umno jaga kita dan (bila) dianggap Utusan ini milik Umno, tentulah Umno jaga kita," katanya mengulas isu kegagalan rundingan perjanjian bersama antara NUJ dan pentadbiran Utusan yang tertunggak kira-kira dua tahun.
Hata - wartawan kanan 15 tahun di Utusan - berkata, sekiranya setiap ahli Umno melanggan senaskhah akhbar itu setiap hari, tentulah jualannya tidak jatuh merosot teruk seperti sekarang.
Begitu juga dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang dilihat mendapat liputan 'istimewa' daripada akhbar itu, tambah Hata.
"Kita (wartawan Utusan ) sokong orang yang salah ke? Atau kita hanya digunapakai untuk kepentingan masing-masing?" soalnya ketika diwawancara Malaysiakini di Kuala Lumpur kelmarin.
Johan Jaafar lelaki budiman
Bagaimanapun, setelah 15 tahun berkhidmat dengan akhbar itu, Hata berpendapat, dalam isu kebebasan media, Utusan berada pada tahap terbaik ketika dipimpin oleh Datuk Johan Jaafar ( kiri ) sebagai ketua pengarang sekitar hujung 90-an.
"Pada zaman Datuk Johan Jaafar tahap kebebasan ( Utusan ) agak tinggi, (kira-kira) 60 peratus (bebas), terbaik sekali di Utusan. Pada masa itu kita perjuang nasib orang ramai. (Antaranya) perjuangan tingkatkan rumah murah untuk rakyat miskin," jelas Hata.
Persoalannya, bagaimana hendak membebaskan Utusan sedangkan ia memang milik Umno?
Bagi Hata, tanggungjawab itu terletak pada bahu ketua pengarang.
"Itu terpulang pada ketua pengarang ke mana visi hendak dibawa. Kalau Johan boleh bawa (visi itu), dia jadi lelaki budiman..." kata Hata ( kiri ) lagi.
Berbangga dengan liputan Utusan pada masa itu, Hata menjelaskan, pada masa pentadbiran Johan, program pembangkang turut mendapat liputan dan tidak diabaikan.
"Muktamar PAS kita bagi liputan penuh sampai dua hingga tiga muka surat tak ada masalah," katanya.
Apung saham Utusan
"Politik berubah, tetapi media tak perlu berubah."
Menurut Hata lagi, pengalaman akhbar harian berbahasa Nanyang Siang Pau 'menghambat' cengkaman parti politik - dalam kes ini MCA - boleh dijadikan contoh yang baik.
"Kalau orang luar boleh tekan MCA (supaya) jangan ambil Nanyang , kenapa kita tak boleh buat?" soal Hata.
Selepas MCA mengambil alih Nanyang pada 2001, parti Cina itu menerima pelbagai bantahan daripada dalam dan luar, menyebabkan semua kepentingan dijual kembali secara berperingkat.
Akhbar itu bebas sepenuhnya daripada pengaruh MCA pada Ogos lalu apabila kesemua 3.6 peratus kepentingannya dalam harian bisnes itu dilepaskan.
"Itu kita (perlu) ajukan. Biar saham Utusan diapung di bursa saham, tak payah siapa pegang," kata Hata lagi.
Untuk tujuan untuk, sebagai antara langkah bagi meliberalisasikan media, Hata menambah, kalau perlu, pihakknya sanggup turun berdemonstrasi bagi memperjuangkan tuntutan itu.
Awang Selamat paling berkuasa
"Kalau kita perlu demo kita demolah. Apa masalahnya. NUJ ini sejak dulu memang terkenal dengan demo. Kita tak dapat bonus, kita pergi ke jalanraya. Kita tak dapat elaun kereta, kita pergi ke jalanraya. NUJ dah memang sinonim dengan demonstrasi.
"Setakat pergi ke jalanraya, NUJ dah terlampau masak," katanya dalam wawancara satu jam penuh ceria itu.
Sementara itu, ditanya tentang idenditi kolumnis terkenal dan kontroversi Utusan, Awang Selamat beliau nampaknya masih keberatan mendedahkan perkara itu.
Bagaimanapun, tegasnya, perkara itu sudah menjadi open secreet (rahsia terbuka) di kalangan pelbagai pihak.
"Dia antara orang paling berkuasa di Utusan ," katanya, masih berteka-teki.
Ketika Malaysiakini bertanya sama ada orang itu adalah ketua pengarangnya sekarang Datuk Aziz Ishak, tiada sebarang jawapan diberikan, sebaliknya Hata hanya ketawa besar.