Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tindakan timbalan perdana menteri yang juga timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaasin menyerahkan jentera pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas dianggap sebagai "lari daripada tanggungjawab", kata naib presiden PAS, Salahudin Ayub.

NONE Katanya, telah menjadi kelaziman bagi BN meletakkan tanggungjawab pengarah pilihanraya di atas bahu timbalan perdana menteri tetapi kali ini, Muhyiddin menyerahkan beban itu untuk digalas oleh  Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

"Kenapa Umno lari daripada norma biasa di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin, yang mana (beliau) akan menjadi pengarah pilihan raya setiap kali pilihan raya kecil berlaku bagi BN.

"Kali ini kenapa dia (Muhyiddin) lari. Mana janjinya untuk jambatan di Manek Urai. Mana janji dia untuk memberikan sumbangan untuk warga tua di Manek Urai. Ke mana dia lari?" katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Salahudin berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung keputusan BN melantik Tengku Razaleigh mengetuai jentera BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaiman Isnin lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

azlan Calon PAS itu mendapat 4,399 undi menewaskan Mohd Saufi yang memperolehi 3,753 undi.

Majoriti pengundi di kawasan ini terdiri daripada seramai kira-kira 6,200 pengundi Melayu, diikuti 2,000 Orang Asal, 1,900 pengundi Cina dan juga India (170).

Pada sidang media itu juga, Salahudin berkata PAS tidak menghadapi masalah walaupun ketua Umno Gua Musang yang mesra dengan panggilan 'Ku Li' itu akan mengetuai jentera pilihan raya kecil BN.

Ini kerana, dakwanya, parti itu mempunyai hubungan "sangat akrab" dengan ahli parlimen Gua Musang berkenaan kerana puteran raja tersebut pernah dan sedang bersama-sama PAS memperjuangkan isu royalti minyak di Kelantan.

azlan Bagaimanapun, Salahudin turut mengingatkan supaya ahlinya tidak meremeh dan merendah keupayaan jentera pilhan raya lawan untuk mempertahankan DUN tersebut.

Menurutnya, PAS akan menghadapi "cabaran yang cukup besar".

"Jentera pilihan raya parti perlu bersiap sedia. Jangan ada (ahli) yang terlalu yakin, (dan) rasa selesa untuk menghadapi pilihan raya. Tingkatkan keupayaan dan komitmen untuk mengadapi pilihan raya. Kita perlu menghadapinya dengan penuh kebjaksanaan," katanya.

Katanya, PAS pusat akan bermesyuarat bagi membincangkan persediaan parti itu termasuk melantik pengarah pilihan rayanya yang akan diumumkan dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan diadakan di Pusat Khidmat DUN Gombak Setia Ahad ini jam 3 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS