Sebaris komen dalam laman blog - yang bertanyakan sama ada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia masih 'hidup' - memberitakan tamparan hebat kepada presiden barunya Hata Wahari, menyebabkan "regim baru" itu bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan kebebasan media.
"(Tulisnya) NUJ telah mati mati lama dahulu. Itu yang menyentuh perasaan saya.
"Dan saya balas, saya tak kenal siapa penulisnya, memang NUJ telah telah mati 12 tahun lepas, 13 tahun lepas, tetapi saya sempat menyelamatkan semangat NUJ pada tahun 80-an untuk dihidupkan semula.
"Dan saya cakap dengan dia, lihatlah gergasi baru bangun tidur. Bila dia bangun tidur, dia makan apa saja," katanya yang mendakwa telah lama memendam rasa "terlampau kecewa" itu.
Selepas menang kerusi presiden NUJ - gabungan terbesar wartawan Malaysia - pada 17 September lalu, kesatuan itu dilihat bertukar nada apabila dilihat kembali garang apabila mempersoalkan beberapa akta anti-kebebasan seperti akta mesin cetak dan penerbitan.
Dengan agenda liberalisasi media, Hata turut mengkritik keras akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang didakwanya tunduk kepada tuan politik masing-masing dan tidak berkaitan sama sekali dengan kebebasan media.
Tindakan itu dilihat mengejutkan dan membuka mata beberapa pihak yang selama ini memandang sinis keberanian gabungan lapan kesatuan wartawan pelbagai akhbar itu; terutama apabila Utusan memuatkan berita menghentam wartawan politik itu.
Jaga periuk nasi
Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini semalam, wartawan Utusan Malaysia selama 15 tahun itu menafikan wadah perjuangan NUJ yang lantang memperjuangkan kebebasan seperti sekitar tahun 80-an telah padam.
"Ia sebenarnya tersimpan dalam sebuah peti, berkunci. Dan peti itu terletak di negeri Maghribi," katanya berseloroh.
Katanya, setelah "menjaga periuk nasi" selama 12 tahun di zaman "regim "presiden lama Norilla Daud , "dendamnya" itu terubat apabila mendapati ramai wartawan pelbagai akhbar kini menyokong agenda yang dimuatkan dalam manifestonya.
"Mungkin perubahan masa dia (Norilla) tak dapat ikut, (atau) terbelenggu dalam kepompong.
"Sebab itu cawangan NUJ di lapan syarikat rasa kita perlu seorang boleh bawa NUJ kembali pada perjuangan asal," katanya sambil menimbau noltalgia bawah pimpinan Yazid Otman dan Abdullah Tahir.
Justeru, menurut Hata, apabila ada seorang "kepala" sepertinya mahu ke depan, semua pihak kini tampil sebulat hati memperjuangkan agenda yang sama.
Beliau juga mengakui, apabila bekas presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad - yang kemudiannya dipecat majikannya - mencetuskan permulaan idea liberalisasi media yang mahu diperjuangkan NUJ.
"Bila Amran sudah menampakkan gerakan itu, (saya fikir) nampaknya ada orang ada (buah) fikiran yang sama dengan kita. Ini yang kita nak buat, tetapi masa itu tak nampak (lagi) kumpulan yang nak sokong kita," kata Hata.