MCA hari menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menyiasat dan bertindak ke atas timbalan pengarah Biro Tata Negara, Hamim Husin jika terbukti beliau mengeluarkan kata-kata yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina dan India.
“Jika perlu, polis harus mendakwa Hamim mengikut Akta Hasutan 1960 kerana menghina masyarakat itu.
“Sudah tiba masanya menghentikan tindakan bongkak dan tidak bertolak ansur di kalangan fanatik itu,” kata timbalan ketua biro publisiti MCA, Loh Seng Kok dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Loh, MCA terkejut seorang pegawai kanan kerajaan yang tanggungjawab utamanya untuk memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat boleh menjadi sebegitu rasis dan provokatif terhadap komuniti minoriti di negara ini.
“Apabila masyarakat berkembang, adalah memalukan seorang kakitangan awam yang digajikan oleh Biro Tata Negara yang melatih bakal kakitangan awam sanggup menggunakan kata-kata menghina seperti ‘si sepet mata dan ‘si kaki botol’ ke atas rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.
Hamim semasa sesi tertutup dengan Puteri Umno semalam dilaporkan oleh portal berita the Malaysian Insider sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.
“Hak Melayu adalah untuk memerintah negara. Melayu mesti bersatu menghadapi anacam,” katanya.
Hamim didakwa berkata: “Melayu tidak boleh memerintah sendirian. Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC.
“Si mata sepet tidak pernah menjejak ke masjid atau surau tetapi mempunyai satu undi. Si botol hanya tahu naik dan turun ke Batu caves dan juga mempunyai satu undi,” Hamin dilaporkan berkata.