Umno Kelantan akan membawa isu mengenai kemungkinan orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pentabdiran negara dalam perhimpunan agung Umno bulan depan.
Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Hussein berkata peringatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu perlu dipandang serius dan diketengahkan.
Oleh yang demikian, Umno Kelantan akan mengadakan konvensyen pada 15 Oktober bagi membincangkan topik itu dan mengeluarkan resolusi untuk dikemukakan kepada Umno pusat untuk dibincangkan dalam perhimpunan agung parti nanti, katanya kepada pemberita di Bachok hari ini.
Jumaat lepas Dr Mahathir antara lain berkata orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara pada pilihan raya umum kelak.
Dr Awang yang juga timbalan menteri kewangan dan anggota Majlis Tertinggi Umno berkata isu itu sepatutnya diberi perhatian oleh seluruh orang Melayu kerana ia merupakan jatuh dan bangun orang Melayu pada masa hadapan tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.
- Bernama