Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang PKR Petaling Jaya Utara (PJU) hari ini.
Bagaimanapun, Elizabeth telah membuat bantahan kepada jawatankuasa pemilihan parti itu kerana mendakwa pemenangnya, Lee Chin Cheh hanya memindahkan keahliannya ke cabang PJU pada bulan Ogos.
Sedangkan, katanya, ia melepasi tarikh akhir kelayakan - Jun - dan mendakwa pemindahan keahlian Lee itutidak mematuhi peraturan.
Dalam pemilihan tersebut, Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan, mendapat 161 undi manakala Lee mendapat 222 undi.
Perebutan jawatan ketua cabang PJU itu membabitkan pertandingan empat penjuru.
Dua lagi calon, S Kandiah mendapat 110 undi, manakala Quek Chee Hoe mendapat 2 undi.
Seramai 522 ahli mengundi dalam pemilihan hari ini.
Menurut Elizabeth lagi, beliau yakin bantahannya itu akan diterima oleh jawatankuasa pusat.
"Keputusan hari ini bukanlah satu keputusan yang muktamad," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.