Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Proses pemilihan PKR cabang Merbok dan Jerai - kedua-dua di Kedah - hari ini ditangguhkan ekoran dakwaan antaranya, wujudnya undi palsu dan orang luar turut mengundi.

Di Merbok, tiga lagi sebab ia dibatalkan ialah kerana dakwaan berlaku kebocoran kertas undi yang mempunyai nombor siri, ada kertas undi kosong dan kertas undi dibawa keluar, kata exco kerajaan Kedah, S Manikumar.

Beliau yang bertanding jawatan timbalan ketua cabang berkata, proses pemilihan ditangguhkan pada kira-kira 1 tengahari tadi.

NONE Turut ditangguhkan ialah mesyuarat agung bahagian berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Manikumar berkata, selepas berunding dengan peringkat pusat, keputusan dibuat untuk menangguhkan mesyuarat agung cabang serta proses pemilihan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, seramai 300 perwakilan hadir dalam mesyuarat agung hari ini untuk memilih barisan kepimpinan peringkat cabang dan membuat pencalonan bagi pemilihan jawatan tertinggi parti.

Manikumar berkata, keputusan mengenai penangguhan tersebut diumumkan oleh pengawas pemilihan bagi  cabang berkenaan.

Pemilihan bagi jawatan ketua cabang tersebut menarik perhatian apabila ketuanya Abdul Rashid Din menarik diri dan ahli majlis pimpinan pusat Saiful Izham Ramli merupakan calon tunggal bagi jawatan tersebut.

Manakala bagi jawatan timbalan ketua pula, Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau berdepan dengan naib ketua cabang, Mukhtar Ismail.

Sementara di Jerai pula, penyelaras PKR cabang berkenaan, V Arumugam berkata, mesyuarat dan pemilihan ditangguhkan kerana wujud dakwaan ada perwakilan luar turut mengundi.

Beliau yang juga bekas ADUN Bukit Selambau berkata, ada juga dakwaan terdapat perwakilan yang masuk mengundi dua kali.

Berikutan dakwaan tersebut, katanya, pengawas pemilihan membuat keputusan menangguhkan mesyuarat dan pemilihan pada kira-kira jam 2 petang.

Tarikh baru akan ditentukan oleh ibupejabat parti, kata Arumugam yang bertanding jawatan ketua cabang yang menyaksi pertandingan tiga penjuru.

Selain Merbok dan Jerai, tiga lagi cabang PKR di Kedah -  Sungai Petani, Sik, dan Baling - dijadual mengadakan mesyuarat agung masing-masing hari ini.

 

 

 

ADS