Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa pihak pentadbiran universiti tersebut supaya tidak menghalang mahasiswa untuk hadir mendengar keputusan perbicaraan kes 'bini puaka' di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Sebaliknya, pengerusinya Syed Syafiq Syed Hashim berkata pihaknya bersedia menghantar seramai mungkin mahasiswa universiti itu ke mahkamah tersebut untuk memberi sokongan moral kepada tertuduh.
"Pagi tadi, kami dihubungi wakil timbalan naib canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (BHEP) melalui telefon, meminta kami tidak menghantar mahasiswa untuk mendengar keputusan perbicaraan (esok).
"Pro Mahasiswa UPM ingin menyatakan pendirian bahawa kami akan terus menghantar mahasiswa UPM ke Mahkamah Jalan Duta esok.
"Kami berpendapat bahawa BHEP tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mahasiswa mendengar keputusan perbicaraan di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar mahasiswa supaya turun beramai-ramai untuk memberi sokongan moral kepada lima orang mahasiswa yang dituduh dalam kes tersebut.
Sementara itu, jurucakap Pro-M Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata pihaknya juga ke mahkamah esok untuk tujuan tersebut.
Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber berkata, kira-kira 50 mahasiswa akan hadir memberi sokongan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, sumber itu tidak pasti sama ada pihak pentadbiran UIA ada mengeluar sebarang arahan melarang mahasiswa hadir di mahkamah esok.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap kelima-lima mahasiswa Akademi Pengajian Islam (API) Univerisiti Malaya yang dituduh atas dakwaan cubaan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah pada 24 Jun tahun lalu.
Kelima-lima mahasiswa itu adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya yang dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.
Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.
Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.
Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.
Prosiding mahkamah akan bermula jam 8.30 pagi esok.