Naib Presiden PKR Azmin Ali memberi jaminan sekiranya beliau menang dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua dalam parti itu, akan masih ada tempat dalam parti untuk pesaing utamanya Datuk Zaid Ibrahim.
Menurut Azmin, ini kerana PKR merupakan sebuah parti yang sentiasa memberikan ruang kepada semua orang, termasuk anggota baru seperti bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
"Beliau (Zaid) juga ada kekuatannya utuk membantu parti.
"Percayalah, sekiranya saya diterima oleh anggota (PKR) sebagai timbalan presiden, Datuk Zaid juga akan diberikan peranan penting untuk meneruskan khidmat beliau dalam PKR, untuk mengukuhkan parti, (dan) menyediakan parti untuk menyertai pilihan raya yang akan datang," katanya.
Dalam pemilihan PKR hujung tahun ini, Azmin sebagai calon popular untuk jawatan timbalan presiden dijangka bakal ditentang hebat Zaid sebagai pencabar utama.
Setelah 78 cabang bermesyuarat setakat ini, Azmin mendahului dengan 43 pencalonan, Zaid mendapat 21 pencalonan, manakala seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub pula mendapat 10 pencalonan.
Kesetiaan, kesetiaan, kesetiaan
Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Bangsar semalam, Azmin bagaimanapun berkata peranan pasti kepada Zaid bagaimanapun perlu dibincangkan secara dalaman dalam parti terlebih dahulu.
"Kalau saya putuskan (sendiri), sahlah presiden itu boneka. Saya tidak boleh buat keputusan secara peribadi, memang tidak pernah kita buat keputusan sendiri dalam parti," katanya.
Selama ini pun, tambahnya, bukan saja Zaid, terdapat juga pemimpin lain diberikan peranan penting dalam PKR seperti bekas menteri kesihatan Datuk Seri Chua Jui Meng yang dilantik sebagai anggota biro politik selepas menyertai parti itu.
Terus menafikan mempunyai 'chai' (gandingan), dalam wawancara panjang hampir dua jam, Azmin juga mendedahkan asas manifestonya, dengan slogan "Reformasi Menuju Putrajaya" yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Tiga pendekatan yang mahu ditegaskannya, meliputi usaha untuk memperkukuhkan idealisme perjuangan, menekankan kesetiaan dan perpaduan dalam parti serta memantapkan kerjasama dan pentadbitan.
Bersandarkan penglibatan 26 tahunnya berkhidmat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan antara tokoh awal gerakan reformasi 1998 yang merintis kepada penubuhan PKR, Azmin mengibaratkan tawarannya bagi bertanding jawatan itu sebagai satu "penyerahan kad laporan".
"Saya yakin anggota parti akan mampu membuat keputuan secara matang," katanya penuh diplomasi.
Malam pertama memang indah
Tetapi, jika dibandingkan dengan Zaid yang lantang menyuarakan sesuatu pandangan, Azmin - yang sudah masak dengan 'sepak terajang' dalam PKR - bagaimanapun lebih berhati-hati dalam tutur katanya.
Malah, ahli parlimen Gombak itu terdiam hampir sepuluh saat ketika ditanya secara langsung penilainnya terhadap prestasi Zaid dalam parti setakat ini.
Memaklumkan tidak mengenali rapat Zaid yang "sangat baru" dalam PKR, Amin berkata bekas menteri yang bertanggungjawab dalam undang-undang itu lebih dikenalinya melalui media.
"Bagaimanapun, saya sambut baik penyertaannya dalam PKR. Dan untuk rekod, DUN saya, Bukit Antarangsa antara yang pertama anjurkan majlis besar untuk alu-alukan Datuk Zaid dalam PKR," katanya.
"Tetapi sudah tentu, ini macam kahwin. Malam pertama memang indah. Bulan pertama lagi indah.
"Tetapi lepas enam bulan, kamu mesti hadapi realiti, terumanya apabila menghadapi pemilihan parti. Ahli kena buat pilihan mereka sama ada terima calon A atau B."