Waran tangkap akan dikeluarkan ke atas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar, jika beliau enggan membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa pimpinan tertinggi polis ada kaitan dengan pembunuhan jutawan kosmeik Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata tindakan itu adalah jalan terakhir jika pihaknya masih gagal menghubungi Shamsul ( kanan ) kerana kertas siasatan berhubung dakwaan berkenaan sudah dibuka.
Dalam perkembangan yang sama, Khalid juga memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam jika dia terus cuba membawa isteri ahli perniagaan dari India yang dilaporkan hilang awal tahun ini, S Usharani ke lokasi pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Banting.
Menurut Khalid, amaran itu dikeluarkan kerana tindakan berkenaan adalah menyalahi prosedur termasuk dikhuatiri boleh menganggu siasatan siasatan polis.
Beliau berkata kes kehilangan ahli perniagaan India, Allal Kathan Muturaja, 34, itu masih dalam siasatan dan mengingatkan bahawa Manikavasagam seharusnya membawa isteri Usharani untuk membantu siasatan lanjut polis dan bukannya membawanya ke lokasi pembunuhan berkenaan.