Adik Menteri Besar Kelantan, mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari sebuah syarikat Bumiputera, I’Da World Group Sdn Bhd, bagi membantu Pas Kelantan atas sifat peribadi dan bukan mewakili parti atau Kerajaan Kelantan.
Nik Din Nik Mat berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik untuk menerima replika cek itu di suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu, dua hari lalu.
"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, dekat Kota Bharu hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai sebuah syarikat Bumiputera, I’Da World Group Sdn Bhd yang menimbulkan misteri dan kejutan banyak pihak kerana bermurah hati untuk menderma kepada Pas Kelantan bagi membangunkan negeri itu.
Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.
Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.
Replika cek bernilai RM4 bilion itu disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Abdul Rahman Abdul Rashid, seorang anak Kelantan yang kini menetap di luar negara.
- Bernama