Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata perpaduan Umno dan PAS tidak akan menjamin kekuatan bangsa, sebaliknya tiga parti utama pengasas BN iaitu Umno, MCA serta MIC perlu memulihkan jati diri dengan tegas dan berani menerusi
pendekatan baru, untuk menjamin masa depan negara.
"Umno seharusnya melupakan sahaja perpaduan Melayu menerusi PAS yang sejarahnya berakar umbi perkauman dan keagamaan dogmatik, sebaliknya bersama-sama dengan rakan-rakan sejatinya dalam BN menolak sentimen kaum masing-masing," katanya dalam temubual eksklusif kepada umno-online.com.
Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata Umno, MCA, MIC dan parti komponen BN yang lain sewajarnya meneruskan kerjasama membina dan seharusnya tidak membicarakan isu sensitif secara terbuka kerana ia tidak akan memulihkan kekuatan parti.
"Sebaliknya akan tambah meluaskan perasaan tidak puas hati apabila sesuatu tuntutan tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan dengan segera, ataupun menghadapi halangan," katanya.
Musuh sebenar
Beliau berkata BN juga harus menampakkan pemisahan identiti daripada golongan mencari kekuatan menerusi sentimen perkauman dan keagamaan dan di luar daripada formula serta nilai sosial yang telah diasaskan oleh parti Perikatan sejak sebelum merdeka.
Katanya, Umno dan BN mesti berani dan tegas mengimbangi kehendak yang munasabah serta realistik, selain tidak terikut-ikut dalam kerakusan pendemokrasian baru sehingga melupakan ancaman musuh sebenar.
Bagaimanapun, beliau berkata kekeliruan rakyat dalam hala tuju negara akan dapat diperbetulkan sekiranya semua parti komponan BN kembali kepada keperibadian asal dan jati diri, dengan hanya membuat pembaharuan pendekatan tanpa mengetepikan nilai asal serta kawalan sosial yang telah dibangunkan.
Zainuddin berkata perjuangan berasaskan ideologi, terutamanya agama, tidak mengenal tolak-ansur, bersifat keras serta wajah manis mereka adalah bersifat sementara dalam menunggu kesempatan dan kuasa.
"Ketika itu, tentu sudah terlewat untuk rakyat, kerana yang sesal dahulu pendapatan, dan sesal kemudian tak ada gunanya," kata beliau.
- Bernama